![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2023-06-28_10-48-29_1687928080.jpg)
Hadi, 23, di perkarangan Penjara Reman Pulau Pinang, di sini, memeluk ibunya, Rita, 53, sejurus dibebaskan bagi menjalani program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Georgetown: Aidiladha kali ini amat bermakna bagi lapan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang di sini, apabila mereka dibebaskan menerusi program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani, semalam.
Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, program yang memberi peluang kepada banduan menjalani kehidupan baharu itu turut memberi dorongan supaya mereka tidak lagi kembali ke penjara.
Katanya, sepanjang tahun ini seramai 300 banduan di negeri ini dibebaskan menerusi program PBSL terdiri daripada banduan menjalani hukuman di bawah tiga tahun dan dipilih berdasarkan kesungguhan serta berkelakuan baik ketika dalam tahanan.
"Sepanjang program ini, kami menerima maklum balas positif dalam kalangan majikan dan diharap banduan ini diberi peluang kembali ke pangkuan masyarakat serta tidak mengulangi kesalahan," katanya ketika ditemui di perkarangan Penjara Reman, di sini, semalam.
Sementara itu, waris yang mahu dikenali sebagai Rita, 53, dari Bayan Baru berkata, Aidiladha kali ini penuh bermakna apabila anaknya, Hadi, 23, dibebaskan selepas enam bulan menjalani hukuman berkait Akta Racun.
Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu dibebaskan dua minggu lebih awal dan akan bekerja dengan suaminya yang juga peniaga makanan.
"Hadi mempunyai anak lelaki berusia 12 bulan dan isterinya juga bekerja, jadi besar harapan saya melihat perubahannya kelak.
"Dengan pembebasan ini, maka lengkaplah keluarga kami sempena Aidiladha dan sebagai ibu saya tidak jemu mendoakan kebaikan anak," katanya.