|
BAGNAIA mencatat kemenangan keempat musim ini selepas menguasai saingan GP Belanda di Litar Assen kelmarin. – AFP
ASSEN – Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia mengakui dia bimbang dengan tayar depan jentera ketika memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Belanda yang berlangsung di Litar Assen malam kelmarin.
Bagnaia yang juga juara dunia berkata, masalah tayar dialaminya sejak awal perlumbaan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk memintas pelumba Red Bull KTM, Brad Binder seawal pusingan ketiga.
Meskipun berdepan masalah tayar depan selain dicabar pelumba Mooney VR46, Marco Bezzecchi, namun Bagnaia tetap tenang dan meneruskan saingan sebelum memenangi perlumbaan keempatnya musim ini.
“Pada perlumbaan hari ini (kelmarin), saya cuba segala-galanya untuk berada di hadapan lebih awal kerana tayar depan jentera berdepan masalah suhu. Apabila berada di belakang, suhu tayar cepat meningkat.
“Saya hanya cuba berikan yang terbaik dalam setiap pusingan dan saya nampak Bez (Bezzecchi) semakin hampir di belakang. Ketika itu, saya cuba segala-galanya untuk jarakkan kedudukan,” katanya.
Sementara itu, Bezzecchi menyatakan dia turut berpuas hati apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua walaupun gagal untuk memintas Bagnaia pada penghujung saingan.
“Dapat menjejakkan kaki ke podium adalah sesuatu yang menakjubkan. Saya berpuas hati dengan aksi hari ini
(kelmarin) walaupun jentera berdepan masalah di akhir perlumbaan, jadi agak bimbang mungkin hilang podium,” ujarnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/06 ... ang-bagnaia-menang/ |
|