![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/obj43493244_1686993404.jpg)
Gambar fail Che Tom Hassan (kiri) bersama Saffiyah Tang Xie Lie (kanan) dan dua cucunya, Hana Sakeena, 4, dan Haris Sufian, 2. - NSTP/ARKIB
TASEK GELUGOR: Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama terus menitipkan doa dan kata-kata semangat buat keluarga peserta Malaysia Everest 2023( ME2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang di puncak tertinggi itu hampir sebulan lalu.
Doa dan kata-kata semangat itu diungkapkan menerusi beberapa platform media sosial selepas membaca perkembangan berita berhubung kehilangan pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran berkenaan.
Isteri Muhammad Hawari, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, turut berkongsi beberapa siaran berita mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) suaminya melalui Facebook (FB) miliknya 'Saffiyah Muslimah' dan perkongsian itu mendapat perhatian ramai.
Ketika ini, ramai pihak memohon supaya keluarga itu diberikan kesabaran dan berharap pendaki berkenaan dapat ditemui segera dalam apa jua sekali pun.
Semakan di laman sosial FB milik ibu Muhammad Hawari, Che Tom Hassan, 64, mendapati kesemua hantaran yang dimuat naik beberapa hari lalu berkisar saat kebahagiaan bersama anak lelakinya itu.
Che Tom turut meluahkan rasa rindu terhadap anaknya apabila memuat naik sekeping gambar yang diambil bersama Muhammad Hawari, menantu dan dua cucunya.
Semalam, ME2023 dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi SAR Muhammad Hawari akan bersambung tahun depan.
Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak, dilaporkan berkata, pihaknya sudah menjalankan operasi SAR bermula 19 Mei sehingga 15 Jun, namun belum menemui sebarang petunjuk.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu selepas keluar meninggalkan Kem 4 pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut. Sehari sebelum itu, Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest.