BUTTERWORTH: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQK) Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen PICCA Arena Butterworth, di sini, sejak Ahad lalu, mendapat lebih 30 peratus penyertaan daripada golongan muda, khususnya remaja.
Bukan itu sahaja, mereka yang menyertai pentas berkenaan turut dilaporkan mendapat pemarkahan tinggi sehingga 90 peratus, sekali gus menunjukkan dalam kalangan peserta masing-masing memberi saingan hebat.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata pihaknya teruja apabila penyertaan anak muda, terutama remaja dalam bidang hafazan pada MTHQK kali ini menunjukkan perkembangan positif dan sangat baik.
"Kalau kita tengok (format bacaan) hafazan juzuk satu hingga 10, mereka (peserta) perlu bertaranum dalam satu soalan yang akhir selain menghafaz yang ia sangat mencabar, apatah lagi tidak boleh melihat teks.
"Namun, amat memberangsangkan apabila kesemua peserta (termasuk anak muda dalam kalangan remaja) boleh membaca (hafaz) secara bertaranum dan bukan sahaja sekadar tartil (aturan) yang ia menjadikan bacaan (suara) lebih indah.
"Sama juga dengan tilawah yang bagi kami (JAKIM) pendedahan yang diberikan mengenai program ini setiap tahun menarik minat mereka (golongan muda) sehingga persembahan suara, bacaan hafazan juga lancar dan amat bagus" katanya.
MTHQK anjuran JAKIM berlangsung selama enam hari bermula Ahad dan berakhir malam ini membabitkan 108 peserta dari seluruh negeri.
Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan peserta iaitu dua peserta dalam pertandingan tilawah al-Quran manakala enam peserta dalam pertandingan hafazan al-Quran.
Jelasnya, persediaan peserta pada pentas kali ini juga begitu baik selepas program itu dikembalikan semula tahun lalu.
"MTHQK terpaksa dihentikan seketika selama dua tahun berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung COVID-19 dan diadakan kembali tahun lalu.
"Atas faktor itu, peserta mempunyai banyak masa memperbaiki mutu bacaan dan menjadikan mereka lebih bersedia untuk pentas kali ini," katanya.