Butterworth: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menahan kemasukan konsainan makanan haiwan dari China ketika melakukan pemeriksaan di Pintu Masuk Dermaga Air Dalam, di sini, petang kelmarin.
Pengarah Maqis negeri Muhammad Ikram Abd Talib berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Maqis mendapati makanan haiwan itu tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.
Berikutan itu, katanya, semua dagangan sebanyak 182 kotak seberat lebih satu tan bernilai hampir RM17,000 itu ditahan kemasukannya bagi siasatan lanjut.
"Kegagalan untuk mengemukakan permit import bagi pengimportan makanan haiwan adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.