KANGAR: Kerajaan Perlis tetap mempertahankan logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang diketengahkan sebagai rangka promosi pelancongan negeri sejak minggu lalu meskipun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak disebabkan rekaannya yang dilihat seperti 'cincai'.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata pihaknya melihat tiada isu yang timbul hasil pemilihan logo pelancongan berkenaan, sebaliknya hanya sekitar tiga atau empat individu saja yang membantah pemilihan logo itu.
"Saya lihat di Facebook, berhubung pemilihan logo berkenaan hanya dibantah tiga ke empat orang individu saja.
"Dalam laman sosial baru 19 orang (yang memberi maklum balas), yang tidak suka pula hanya tiga ke empat orang. Jadi tidak timbul isu mengenainya ," katanya ketika dihubungi, hari ini.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/Mohd_Shukri_1686642377.jpg)
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Mohd Shukri berkata, pemilihan logo dibuat selepas dipamerkan kepada umum dalam laman Facebook Tourism of Perlis Official sejak Jumaat lalu.
Terdahulu, pemilihan logo baharu Tahun Melawat Perlis bagi 2024-2025 mengundang kritikan ramai, termasuk daripada bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.
Amin yang juga Timbalan Majlis Pimpinan PKR Perlis berkata, kerajaan negeri pastinya mempunyai rekaan lebih menarik dan bermakna yang boleh dijadikan logo pelancongan sempena Tahun Melawat Perlis tahun depan.
Malah, Amin mendakwa rekaan logo itu juga dilihat agak 'cincai' dan tidak menarik, selain sektor pelancongan Perlis pada waktu ini dilihat agak lembap tanpa ada sebarang usaha terutama daripada kerajaan negeri.
Pertandingan mencipta logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dibuka penyertaan pada 10 Januari hingga 28 Februari dengan mendapat 29 penyertaan dari seluruh Malaysia.
Pemilihan pemenang dinilai juri profesional dan semua keputusan dibuat penganjur adalah muktamad.