Para peserta dari Bintulu Bikers Community dan Central Zone Bikers yang menyertai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
KUCHING: Konvoi Kembara Sarawak Merdeka sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka meneruskan perjalanan menuju pekan Sebauh.
Majlis pelancaran dan pelepasan konvoi disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip pada jam 9 pagi di Naim Street Mall, Bintulu Paragon hari ini.
Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Aidel Lariwoo, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Tanjong Batu Johnny Pang.
Juga Timbalan Residen Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey bagi mewakili Residen Bahagian Bintulu dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak selaku ketua konvoi Dolhadi Mazuki.
Selain itu, majlis juga dimeriahkan dengan kehadiran ikon Bintulu iaitu dua bekas pemain bola sepak Sarawak Dahlan Matusin dan Zapri Manai, atlet taekwondo kebangsaan Marylyne Bungan Lian dan empat ikon inovasi digital dari SMK Bintulu iaitu Edwin Ting, Yiek Siew Hao, Jayden Lu dan Sean Lee.
Konvoi terdiri daripada kelab permotoran dan pacuan empat roda di Bintulu iaitu Bintulu Bikers Community, Central Zone Bikers dan Kelab Pacuan Empat Roda Bintulu.
Ia melibatkan seramai 70 peserta yang membawa 40 kenderaan pacuan empat roda dan 30 motosikal berkuasa tinggi.
Setiba di Sebauh, konvoi bakal disambut oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
|