![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/09hempuk_1686313567.jpg)
Tangkap layar video tular memaparkan insiden kemalangan di Jalan Permatang Damar Laut, Batu Maung, di Bayan Lepas, sebelum seorang lelaki penunggang motosikal mencederakan pemandu wanita menggunakan topi keledar. - Foto NSTP/ FOTO TULAR
BAYAN LEPAS: Akibat tidak berpuas hati, seorang penunggang motosikal bertindak memukul pemandu wanita dengan topi keledar dalam kejadian di Jalan Permatang Damar Laut dekat Batu Maung di sini, semalam.
Insiden berkenaan kemudian tular menerusi video berdurasi 14 saat yang dimuat naik di media sosial, sebelum dikesan polis kira-kira jam 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati dengan pemandu kereta berkenaan yang menyebabkan kemalangan.
Katanya, kejadian itu mendorong suspek mencederakan wanita berkenaan secara memukul dengan menggunakan topi keledar.
"Suspek akan direman esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera menggunakan senjata," katanya.