|
Ibrahimovic atasi rekod Dino Zoff
Zlatan Ibrahimovic (tengah) masuk sebagai pemain gantian Sweden dalam aksi kelayakan Kumpulan F Euro 2024 menentang Belgium di Solna, Sweden. - Foto REUTERS
SOLNA, Sweden: Zlatan Ibrahimovic, penyerang Sweden berusia 41 tahun, menjadi pemain paling tua beraksi di pentas kelayakan kejohanan Eropah.
Ibrahimovic mencatat rekod itu apabila dia dimasukkan pada minit ke-73 dalam aksi kelayakan Euro 2024 menentang Belgium di Solna.
Pada usia 41 tahun, lima bulan dan 21 hari, Ibrahimovic kini mengatasi rekod bekas penjaga gol Itali, Dino Zoff, yang bermain menentang Sweden pada 29 Mei 1983, ketika berusia 41 tahun, tiga bulan dan satu hari.
Bekas penjaga gol Itali, Dino Zoff.
Ibrahimovic sebelum ini memecahkan rekod sebagai pemain paling tua menjaringkan gol dalam saingan Serie A ketika mewakili AC Milan.
Awal minggu ini Ibrahimovic menegaskan, yang dia mahu beraksi di pusingan akhir Euro di Jerman tahun depan dan pada usia 42 tahun, dia bakal menjadi pemain tertua pernah menyertai kejohanan itu.
Bagaimanapun hasrat Ibrahimovic itu tidak selari dengan permulaan kempen Sweden yang kini di tangga tercorot Kumpulan F selepas hatrik Romelu Lukaku memberikan Belgium kemenangan 3-0. - AFP
Penyerang Belgium, Romelu Lukaku meledak hatrik dalam kemenangan 3-0 ke atas Sweden pada aksi kelayakan Kumpulan F Euro 2024 di Solna, Sweden. - Foto REUTERS
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan ... asi-rekod-dino-zoff
|
|