View: 10660|Reply: 0
|
Makanlah untuk perut yang satu
[Copy link]
|
|
Makanlah untuk perut yang satu
MEMULAKAN perbuatan makan dan minum dengan menyebut nama Allah SWT.
Setiap orang memerlukan makanan untuk meneruskan kehidupan. Sememangnya menjadi fitrah manusia memerlukan makanan dan minuman sebagai sebab untuk hidup. Ini sekali gus menunjukkan keperluan hamba yang memerlukan makanan dan minuman kurniaan Allah SWT.
Tidak ada manusia yang dapat meneruskan kehidupan tanpa makanan dan minuman yang dikurniakan Allah SWT sebagai salah satu daripada nikmat-Nya.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." (Surah an-Nahl, ayat 114)
Ayat al-Quran itu menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya memakan makanan halal lagi baik yang juga kurniaan daripada-Nya.
Kemudian dijelaskan pula bahawa setiap nikmat itu mesti disyukuri jika benar seseorang Muslim itu hanya menyembah Allah SWT.
Perbuatan memakan makanan halal dikaitkan dengan bersyukur dan ia menjadi bukti keimanan seseorang manusia kepada Allah SWT. Justeru, perkara membabitkan makan dan minum bukan urusan kecil kerana ia mengaitkan hubungan hamba dengan Allah SWT.
Oleh itu, perbuatan memakan benda yang diharamkan Allah SWT boleh menjadi sebab seseorang dimurkai oleh-Nya. Pendek kata, setiap manusia bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan makan dan minum yang dilakukan dalam kehidupan.
Makanan dan minuman juga boleh menjadikan seseorang mendapat pahala dan mendapat dosa sekiranya mengambil makanan yang haram.
Sesungguhnya perintah Allah SWT supaya manusia mengambil makanan halal dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya." (Surah al-Baqarah, ayat 172)
Pada masa sama, perintah untuk mengambil makanan yang halal juga dikenakan kepada rasul terdahulu seperti dijelaskan Allah SWT yang bermaksud: "Wahai para rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Mukminun, ayat 51)
Oleh kerana makanan termasuk juga minuman adalah nikmat kurniaan Allah SWT, manakala pengambilannya boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala mahupun dosa, Rasulullah SAW sudah menunjukkan adab yang sangat bermanfaat untuk umat Islam.
Dengan kata lain, bukan sahaja perbuatan mengambil makanan halal menyebabkan orang Islam mendapat pahala, tetapi banyak lagi pahala yang diperoleh sekiranya mengikut adab yang ditunjukkan Baginda berkait dengan perbuatan makan dan minum.
Antaranya ialah memulakan perbuatan makan dan minum dengan menyebut nama Allah SWT. Paling kurang, mesti menyebut Bismillah sebelum makan ataupun minum.
Ini antara bukti seseorang hamba mensyukuri nikmat makanan dan minuman yang dikurniakan Allah SWT untuk dirinya.
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Apabila salah seorang di antara kalian hendak makan, maka ucapkanlah 'Bismillah' dan jika dia lupa untuk mengucapkan 'Bismillah' pada awal makan, maka hendaklah dia mengucapkan: 'Bismillahi awwalahu wa akhirahu' (dengan menyebut nama Allah pada awal dan akhirnya)." (Hadis riwayat Abu Dawud)
Selain itu, Rasulullah SAW juga melarang umatnya mencela makanan. Ini adalah satu adab yang mesti difahami setiap umat Islam. Rasulullah SAW menunjukkan adab yang tinggi termasuk apabila berdepan makanan dan minuman.
"Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan. Apabila Baginda berselera, (menyukai makanan yang telah dihidangkan) maka Baginda memakannya. Manakala jika Baginda tidak suka (tidak berselera), maka Baginda meninggalkannya." (Muttafaq 'alaih)
Ini bukti ketinggian akhlak Rasulullah SAW yang tidak pernah mencela makanan. Apatah lagi menjadikan makanan sebagai perkara remeh yang boleh dibazirkan begitu sahaja. Meskipun sesuatu makanan itu tidak kena dengan selera sendiri, usah jadikan makanan berkenaan bahan untuk menidakkan rezeki kurniaan Allah SWT. Usah juga mencela makanan halal yang dimakan orang lain kerana itu adalah rezeki daripada Allah SWT untuknya.
Seperkara lagi, sebagai insan yang mensyukuri nikmat makanan dan minuman, wajib ke atas setiap Muslim untuk menjauhkan diri daripada perbuatan membazir. Rezeki kurniaan Allah SWT perlu disyukuri sebaiknya supaya tidak terjebak menjadi saudara kepada syaitan. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya orang yang boros (membazir) itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Isra', ayat 27)
Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa terdapat seorang lelaki yang dahulunya banyak makan. Apabila dia memeluk Islam, makannya sedikit. Lalu hal itu dimaklumkan kepada Nabi SAW, kemudian baginda bersabda: "Sesungguhnya seorang mukmin (yang beriman) makan pada satu perut, manakala seorang kafir makan pada tujuh perut." (Muttafaq 'alaih)
Hadis terbabit antara lain dilihat sebagai satu perumpamaan bagi seseorang yang beriman dan memiliki sifat zuhud terhadap dunia. Orang beriman terbabit dibezakan dengan seorang kafir dengan kesungguhannya mengambil habuan daripada kehidupan dunia. Seorang mukmin itu pasti akan zuhud terhadap dunia, lalu dia makan pada perut yang satu. Sesungguhnya hal itu dapat menzahirkan bahawa kurniaan Allah SWT sangat mencukupi vuntuk kehidupannya.
Manakala seorang kafir pula dengan bersungguh-sungguh mengaut habuan dunia kerana baginya kehidupan dunia adalah segala-galanya. Orang yang kafir tidak percaya kepada kehidupan akhirat yang kekal abadi. Justeru, dengan keghairahannya terhadap dunia, maka kehidupannya dijadikan medan untuk mengaut keuntungan dunia lalu digambarkan oleh Rasulullah SAW bahawa mereka yang kafir makan pada tujuh perut.
Semua ini menunjukkan bahawa makanan dan minuman boleh membezakan antara orang yang beriman dengan orang yang kufur. Orang beriman akan mengingati Allah tatkala hendak makan, manakala orang kafir melupakan-Nya. Orang beriman tidak akan mencela makanan kerana mereka tahu ia kurniaan daripada Allah SWT, manakala orang kafir berbuat apa sahaja kerana bagi mereka itu makanan yang mereka berusaha untuk mendapatkannya.
Orang beriman juga tidak sekali-kali terbabit dalam kegiatan pembaziran kerana setiap rezeki yang diterima akan dipertanggungjawabkan di depan Allah SWT kelak, manakala orang yang kafir tidak menghiraukan perihal timbangan neraca Allah di akirat nanti.
Mudah-mudahan Allah SWT akan terus mengurniakan rezeki makanan dan minuman yang dapat menjadi sebab kita mendapat pahala di sisi-Nya.
Penulis Pensyaran Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
SumbeR:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... tuk-perut-yang-satu
|
|
|
|
|
|
|
| |
|