CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 664|Reply: 0

Isti'jal senjata syaitan

[Copy link]
Post time 30-12-2022 10:40 AM | Show all posts |Read mode
Isti'jal senjata syaitan


SETIAP Muslim perlu memahami hakikat kehidupan di dunia ialah untuk mencari bekalan akhirat. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP

Tergesa-gesa atau gopoh adalah antara sifat manusia yang disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran. Ini berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: "Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya dia ditimpa) kejahatan sebagaimana dia berdoa dengan memohon kebaikan dan sememangnya manusia itu (bertabiat) tergesa-gesa (gopoh)." (Surah al-Isra', ayat 11)

Setiap hari manusia melakukan pelbagai urusan. Kehidupan manusia tidak pernah sunyi daripada pelbagai urusan. Ia sebenarnya berkait dengan sikap manusia yang tidak pernah puas untuk mencari sesuatu yang berguna untuk kehidupannya. Ada orang yang keluar dari rumah untuk mencari rezeki pada awal pagi dan kembali ke rumah ketika matahari telah terbenam.

Ada juga yang perlu menghadiri pelbagai jenis majlis sehingga padat jadual hariannya. Tidak kurang juga yang terpaksa berjaga malam untuk menyiapkan urusan yang diperlukan pada waktu siang meskipun waktu malam dicipta untuk manusia berehat. "Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?" (Surah an-Naba', ayat 9-10). Pendek kata, urusan kehidupan di dunia tidak pernah berhenti.

Setiap Muslim perlu memahami bahawa hakikat kehidupan di dunia ialah untuk mencari bekalan akhirat. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" (Surah al-An'am, ayat 32)

Dalam mengurus kehidupan dunia yang sarat dengan pelbagai aktiviti, ada dalam kalangan manusia yang bersifat rakus mengejar habuan dunia. Golongan seperti ini sanggup melakukan apa sahaja meskipun ia sesuatu yang dilarang oleh Allah SWT. Ini kerana kebanyakan manusia mahukan kesenangan dalam kehidupan mereka di dunia. Ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian. Rugilah bagi mereka yang memandang tinggi terhadap dunia sehingga melupakan kehidupan akhirat yang abadi.

Allah SWT mengingatkan manusia tentang perbandingan antara kehidupan dunia dengan akhirat menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu, lalu berusaha membersihkan dirinya (dengan amal soleh). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang. (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Pada hal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal." (Surah al-A'laa, ayat 14-17)

Salah satu sifat yang perlu dielakkan dalam kehidupan manusia di dunia ini ialah sifat tergesa-gesa. Dalam bahasa Arab, perbuatan tergesa-gesa disebut sebagai isti'jal. Banyak keburukan yang timbul kesan daripada sifat tergesa-gesa dalam diri ketika melakukan sesuatu pekerjaan.

Cuba bayangkan perihal tatkala menerima sesuatu berita yang tidak betul tentang diri sendiri. Lantas tanpa usul periksa diri terus menzahirkan rasa marah kepada orang sekeliling yang tidak terlibat dengan berita tersebut. Mulut terus menghamburkan kata-kata kesat sejurus mendapat berita tidak benar tersebut. Inilah contoh perbuatan gopoh dalam mendepani situasi sukar dalam kehidupan.

Bukankah seeloknya berita tersebut diselidiki terlebih dahulu. Punca timbulnya berita tersebut dicari dengan berlapang dada.  Mungkin juga telinga silap mendengar tentang perincian berita yang diterima. Segalanya akan menjadi baik jika diri mengambil sedikit masa untuk membuat pengesahan tentang perkara tersebut dan tidak tergesa-gesa membuat tindakan.

Keadaan tergesa-gesa juga boleh menyebabkan manusia tergelincir melakukan kesalahan termasuk dalam kata-kata. Apatah lagi apabila manusia berasa ghairah ketika mendapat nikmat, lalu tergesa-gesa dalam tindakan sehingga menyebabkan terlanjur kata-kata dan perbuatan. Terdapat hadis mengisahkan seorang yang tidur pada waktu malam dengan mengikat untanya. Kemudian lelaki tersebut bangun pada pagi hari dan mendapati untanya hilang. Lelaki tersebut mencari dengan bersungguh-sungguh sehingga akhirnya menjumpai untanya. Dalam keadaan sangat gembira, lelaki tersebut tersilap dalam menzahirkan kegembiraan dengan berkata kepada Allah: "Kamulah hamba dan akulah Tuhan," sedangkan dia memaksudkan sebaliknya. Begitulah sifat manusia apabila tergesa-gesa dalam menyatakan kegembiraan.

Sifat tergesa-gesa juga boleh menyebabkan tiada ketertiban dalam tindakan. Ini boleh mendorong seseorang cuba melakukan tindakan mengikut jalan pintas kerana tergesa-gesa. Natijahnya mungkin banyak masalah timbul kerana tidak mengikut prosedur sepatutnya. Oleh itu, dapat diperhatikan dalam rukun ibadah dalam Islam seperti rukun wuduk, rukun solat, dan rukun haji kesemuanya diakhiri dengan tertib iaitu melakukan setiap rukun satu persatu dengan sempurna.

Memang sifat tergesa-gesa ada dalam diri setiap insan. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Jenis manusia dijadikan bertabiat tergesa-gesa (gopoh) dalam segala halnya; Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Ku; maka janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya)." (Surah al-Anbiya', ayat 37)

Justeru, perbuatan tergesa-gesa juga ditegah tatkala melakukan ibadah kepada Allah SWT. Perhatikanlah tatkala menunaikan solat. Antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam pergerakan solat ialah tamakninah. Tamakninah yang bermaksud berhenti seketika ketika melakukan sesuatu pergerakan solat sebelum beralih kepada pergerakan lain merupakan petanda jelas bahawa Islam mengajar umatnya agar bersifat tertib dalam melakukan ibadah dan mengelakkan diri daripada tergesa-gesa.

Sepatutnya nilai baik yang diterapkan dalam solat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Kita dituntut untuk tidak tergesa-gesa hatta ketika sedang melakukan ibadah kepada Allah SWT. Sifat tergesa-gesa hanya akan membuatkan diri tidak memberi tumpuan yang baik ketika beribadah dan akhirnya diri akan berasa letih melakukan ibadah. Sedangkan sepatutnya setiap Muslim berasa tenang ketika melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Dalam hal berkaitan doa kepada Allah SWT juga ada manusia yang bersifat tergesa-gesa agar permohonannya segera dimakbulkan oleh-Nya. Manusia hanya mahukan permohonannya didengar oleh Allah SWT dan diterima dengan kadar segera. Walau bagaimanapun tindakan manusia dalam menyahut seruan Ilahi untuk melakukan ibadah tidak pula dibuat dengan segera sebaliknya secara bertangguh. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Doa seseorang hamba pasti akan dimakbulkan oleh Allah selagi dia tidak tergesa-gesa (ingin doanya dimakbulkan segera)."  (Hadis riwayat Muslim)

Perintah agar tidak tergesa-gesa dalam tindakan sememangnya mempunyai hikmah yang besar bagi golongan yang benar-benar patuh terhadap perintah Allah SWT. Perbuatan tergesa-gesa boleh mendatangkan kerugian dalam kehidupan manusia. Perkara baik yang dilakukan secara tergesa-gesa akan menyebabkan ia dibuat secara ala kadar dan tidak sempurna. Sesuatu tindakan yang dilakukan secara tergesa-gesa juga boleh menghadirkan pelbagai sifat negatif seperti cepat marah, buruk sangka, mengeluarkan kata-kata dusta dan kesat, persengketaan dan sebagainya.

Tergesa-gesa atau gopoh adalah senjata syaitan untuk merosakkan kehidupan manusia. Rasulullah SAW bersabda mengingatkan umatnya menerusi hadis yang bermaksud: "Terburu-buru (gopoh) itu daripada syaitan." (Hadis riwayat al-Baihaqi) Justeru, sebagai seorang Muslim yang memahami tuntutan agama, maka kita perlu mengelakkan diri daripada tergesa-gesa dalam segala tindakan. Tergesa-gesa mencerminkan keperibadian diri yang tidak ada sifat sabar serta mementingkan diri sendiri.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... jal-senjata-syaitan

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
...BYE 2024, HELLO 2025...
seribulan...BYE 2024, HELLO 2025...
Views : 54993 Replies : 13
...AZAM TAHUN 2025...
seribulan...AZAM TAHUN 2025...
Views : 55522 Replies : 25
New Chapter 01: FATTAH AMIN ~ Bebaskanlah mimpi-mimpi terindah
codenamedreamNew Chapter 01: FATTAH AMIN ~ Bebaskanla
Views : 43345 Replies : 1687
Acikpor vs. Ngai, isu tajaan MARA dikorek
maklukpenggodaAcikpor vs. Ngai, isu tajaan MARA dikore
Views : 49926 Replies : 1378
Air laut di Thailand penuh najis manusia
ultra78Air laut di Thailand penuh najis manusia
Views : 34062 Replies : 10
Nenek pun boleh....
maklukpenggodaNenek pun boleh....
Views : 10411 Replies : 16
madu gula tok matahari
aaanf14madu gula tok matahari
Views : 109476 Replies : 1139
Skandal 18 polis yang memalukan Indonesia
maklukpenggodaSkandal 18 polis yang memalukan Indonesi
Views : 94030 Replies : 48
Berita malam seram:Viral isu Iblis, syaitan dan sekutunya bina HQ di tengah laut.”
YgBenarBerita malam seram:Viral isu Iblis, syai
Views : 30422 Replies : 52
'Syarikat insurans untung bilion, anehnya mahu naikkan premium hingga 70 peratus'
Abahmung'Syarikat insurans untung bilion, an
Views : 17926 Replies : 53

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 01:21 PM GMT+8 , Processed in 0.200646 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list