View: 618|Reply: 0
|
Hikmah untuk pemberi, penerima
[Copy link]
|
|
Hikmah untuk pemberi, penerima
AMAT mustahak bagi setiap Muslim untuk menyedari apa yang perlu ditunaikan dalam perintah zakat. FOTO Arkib NSTP
Menunaikan zakat sebahagian kewajipan terkandung dalam Rukun Islam. Kewajipan ini adalah ibadah yang bersifat kebajikan kepada masyarakat. Perintah zakat membuktikan keprihatinan Islam dalam membantu kelompok yang tersepit seperti fakir, miskin dan orang yang berhutang. Di samping itu, zakat berfungsi sebagai sumbangan penghargaan terhadap kelompok yang mempunyai peranan kebaikan tersendiri seperti mualaf, amil dan fi sabilillah.
Perintah zakat termaktub dalam al-Quran. Antaranya ayat 103 Surah at-Taubah yang bermaksud: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi zakat, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui."
Umat Islam dapat menyempurnakan perintah zakat menerusi dua bentuk. Pertama, penubuhan institusi zakat untuk pengutipan dan pengumpulan zakat. Kedua, umat Islam yang mempunyai kelebihan harta bertindak sebagai penyumbang zakat. Tanpa kedua-dua jalinan ini, perintah zakat tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Fungsi zakat ternyata memberi kesan kebajikan kepada golongan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dengan bantuan zakat, mereka mendapat perhatian khas. Melalui sistem zakat Islam, golongan yang daif dapat menyempurnakan serba sedikit kehidupan. Mereka berkesempatan berbelanja untuk makan minum, pakaian asasi, pendidikan anak, membayar hutang dan sebagainya. Penyumbang zakat dapat melihat betapa gembira hati mereka lantaran beban yang ditanggung dapat diringankan. Untuk kelangsungan kebajikan masyarakat, Islam bukan sahaja mewajibkan zakat bahkan menganjurkan sedekah dan hadiah kepada sesama Islam serta bukan Islam.
Zakat diwajibkan kepada Muslim yang berkemampuan dan mempunyai lebihan harta. Zakat dikeluarkan berdasarkan panduan jenis zakat, haul (tempoh) dan nisab (hitungan). Sedekah dan hadiah pula adalah pemberian tambahan yang sunat dilakukan pada bila-bila masa untuk menambahkan lagi pahala di sisi Allah SWT.
Pengeluaran zakat yang diwajibkan hanya membabitkan peratusan kecil, bukan peratusan yang besar. Contohnya zakat pendapatan, zakat saham dan zakat wang simpanan hanya melibatkan kadar 2.5 peratus. Dalam zakat pertanian seperti padi ialah dengan kadar satu persepuluh. Dalam zakat penternakan seperti ternakan kambing ialah seekor kambing jantan daripada 40 ternakan kambing minimum.
Falsafah zakat yang tulus disumbangkan ialah sebagai tanda perkongsian nikmat sesama insan. Umat Islam dididik agar sentiasa mengingati, membantu dan menyokong sosioekonomi ummah. Allah SWT mengingatkan penghayatan ini dalam ayat 19 Surah al-Dzariyat yang bermaksud "Dan pada harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bagian."
Imam Al-Suyuti menjelaskan bahawa ayat ini mempunyai sebab penurunannya. Dalam riwayat Ibn Jarir dan Ibn Abi Hatim daripada al-Hasan bin Muhammad bin Al-Hanafiyah, bahwa Rasulullah SAW mengutus beberapa tentera untuk suatu misi. Kemudian mereka memperoleh kemenangan dan bahagian harta rampasan perang. Kemudian datanglah serombongan orang yang melihat harta rampasan itu. Allah SWT menentukan perlu ada pembahagian lanjutan atas kelebihan harta itu untuk kepentingan bersama.
Pemberian zakat dapat menzahirkan rasa syukur kepada Allah yang memberi banyak kurniaan rezeki. Tanpa izin-Nya maka urusan perniagaan, keuntungan dan kelebihan diri tidak dapat dikecapi. Sebagai tanda syukur, seseorang Muslim akan prihatin terhadap perintah zakat. Ia menjaga diri daripada tergolong sebagai orang yang lalai atau berstatus hamba duniawi.
Meskipun zakat termasuk dalam Rukun Islam, Allah SWT hanya mewajibkan nisbah zakat yang kecil dan bergantung kepada syarat syarie. Hamba Allah yang sebenar akan menjunjung tinggi perintah ini. Sebagai balasannya, Allah akan membalas dengan kurniaan lebih besar. Firman Allah SWT dalam ayat 7 Surah Ibrahim: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."
Untung benar orang yang berzakat kerana rezekinya dijamin berkat. Kadangkala perniagaan atau pendapatannya tidaklah bertaraf usahawan antarabangsa, namun ia bijaksana dalam memperuntukkan wang di jalan Allah. Implikasinya Allah memberi pulangan rezeki dalam pelbagai bentuk seperti kesihatan yang baik, ketenangan hidup dan urusan kerja cemerlang.
Antara kelebihan berzakat ialah firman Allah SWT dalam ayat 261 Surah al-Baqarah yang bermaksud: "Bandingan (zakat dan sedekah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan (ingatilah) Allah maha melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah maha luas (rahmat) kurniaNya..."
Sesiapa yang berzakat akan diberi ganjaran 700 kali ganda pahala. Dapat disimpulkan antara ganjaran berzakat ialah terhasil simpanan faedah di akhirat sebanyak 700 nilaian.
Contohnya hasil daripada sumbangan orang ramai kepada institusi zakat, Lembaga Zakat Negeri Kedah memperkenalkan program bank makanan atau Food Bank mulai 2018. Penduduk yang terputus bekalan makanan di Kedah boleh mendapatkan makanan asas yang ditempatkan di 578 masjid. Hasil daripada insiatif sebegini, banyak pahala terhasil kerana ramai orang susah dapat dibantu. Kebajikan yang unik ini berjaya dilakukan hasil kerjasama penyumbang dan institusi zakat.
Malang bagi sesetengah individu Muslim yang sanggup mengabaikan perintah zakat. Mereka menyelimuti diri dengan sifat angkuh terhadap golongan yang memerlukan bantuan ummah. Sesetengah mereka ini juga malas untuk berurusan tentang zakat kerana terlalu cintakan wang dan harta benda dunia.
Antara pendekatan zakat dalam Islam ialah memberi bantuan dan menyampaikan nasihat. Institusi zakat boleh melaksanakan hal ini seperti nasihat berjimat cermat, nekadkan usaha dan sentiasa bersyukur. Antara hadith yang memberi petunjuk ialah hadis Riwayat Imam al-Bukhari, daripada Hakim bin Hizam bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk (menyumbang) orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah daripada orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan barangsiapa berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya."
Ada kalangan umat Islam mengabaikan kewajipan zakat kerana didorong sifat kedekut. Mereka berasakan mereka telah sedia bersusah payah mencari rezeki, tiba-tiba asnaf zakat berpeluang memunggut hasil keringat. Sesungguhnya sifat kedekut ini akan membinasakan diri. Apalah guna harta yang disimpan hingga ke penghujung hayat tanpa dibelanjakan di jalan Allah.
Harta dan wang banyak disalahgunakan dan dibolot golongan tertentu sahaja. Zakat dan pengagihan saksama gagal dilaksanakan dengan baik. Golongan mewah bertambah mewah, golongan miskin bertambah miskin. Rekod di kebanyakan negara membangun seperti negara Islam menyaksikan jarak taraf hidup yang ketara antara golongan atasan dengan golongan bawahan.
Moga umat Islam menginsafi kepentingan zakat yang memberi suntikan istimewa dalam kelestarian ekonomi. Mereka yang beringat akan beroleh sejahtera manakala mereka yang lalai akan ditimpa bahana di dunia dan akhirat.
Rumusannya, amat mustahak bagi setiap Muslim untuk menyedari apa yang perlu ditunaikan dalam perintah zakat. Kesedaran ini dapat menyempurnakan kehendak agama dalam soal kemasyarakatan sejagat.
Penulis Pensyarah Kanan, Pegawai Sangkutan Akademik Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ke Lembaga Zakat Negeri Kedah
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... uk-pemberi-penerima
|
|
|
|
|
|
|
| |
|