View: 961|Reply: 0
|
Menyelami isi kandungan al-Quran
[Copy link]
|
|
Menyelami isi kandungan al-Quran
ISLAM menganjurkan umatnya membaca al-Quran dan mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan. FOTO Arkib NSTP
Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62 1444 Hijrah / 2022 Masihi berlangsung pada 19 hingga 24 Oktober 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), seramai 41 peserta melibatkan 31 negara yang menyertai MTHQA Ke-62 memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran secara bertaranum.
Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlulah difahami, dihayati dan diamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian. Pelbagai program dan inisiatif dianjurkan bagi bersahabat dan berdamping dengan al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?" (Surah Muhammad: 24)
Terdapat beberapa kandungan isi al-Quran yang perlu diusahakan untuk ditadabbur supaya dapat dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan seharian sebagai hamba Allah SWT yang patuh dan taat.
Pertama, akidah untuk membina kepercayaan, keyakinan atau keimanan. Definisi akidah ialah suatu kepercayaan yang perlu diyakini dengan sepenuh hati, dinyatakan dengan lisan dan dimanifestasikan dalam bentuk amal perbuatan.
Akidah Islam adalah bersumberkan daripada al-Quran dan hadis. Seseorang yang menyatakan diri berakidah Islam tidak hanya cukup meyakini dalam hati, tetapi perlu dinyatakan dengan lisan dan dibuktikan dengan amalan soleh dalam kehidupan.
Inti ajaran akidah adalah tauhid iaitu keyakinan bahawa Allah SWT Maha Esa atau tunggal. Setelah itu, dituruti pula baki Rukun Iman iaitu beriman kepada malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan qadak serta qadar.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Rasul beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, demikian pula orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya dan rasul-Nya. (Mereka mengatakan): 'Kami tidak membeza-bezakan antara seorang pun (dengan yang lain) daripada rasul-Nya' dan mereka mengatakan: 'Kami dengar dan kami taat.' (Mereka berdoa): 'Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat Kembali.'" (Surah al-Baqarah: 285)
Kedua, ibadah untuk mengabdi dan menyembah sepenuhnya kepada Allah SWT dengan tunduk, taat dan patuh kepada-Nya.
Ibadah adalah bentuk kepatuhan dan ketundukan yang dizahirkan oleh perasaan yakin terhadap kebesaran Allah SWT yang hanya satu-satunya berhak disembah dan mempunyai kekuasaan mutlak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku." (Surah al-Zariyat: 56)
Ketiga, kaedah bersosial atau bermuamalah. Manusia perlu sedar bahawa sebagai makhluk sosial yang diciptakan oleh Allah SWT perlu menjalin interaksi sesama manusia.
Manusia bukan hanya hidup untuk beribadah menjaga hubugan dengan Allah SWT sahaja, malah perlu menjaga hubungan dengan manusia seperti persaudaraan, jual beli, hutang-piutang, sewa-menyewa dan kegiatan lain dalam kehidupan bermasyarakat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Surah al-Hujurat: 13)
Keempat, akhlak supaya berkelakuan baik dan menghindari sifat keji. Akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa manusia yang muncul secara spontan dalam tingkah laku seharian.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat serta yang banyak mengingat Allah" (Surah al-Ahzab: 21)
Kelima, hukum-hakam dalam bentuk kaedah dan ketentuan dasar dan menyeluruh bagi panduan kehidupan manusia. Tujuan hukum adalah untuk mencapai keadilan, keamanan, ketenteraman, ketertiban, kesejahteraan, kebahagiaan, dan keselamatan di dunia serta akhirat kelak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab (al-Quran) kepadamu (Muhammad SAW) membawa kebenaran, agar engkau mengadili antara manusia dengan apa yang diajarkan Allah SWT kepadamu dan janganlah engkau menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang berkhianat." (Surah al-Nisa': 105)
Hukum dalam al-Quran dijelaskan sama ada secara umum, 'mujmal' mahupun terperinci, 'tafsil'. Contohnya hukum berkaitan perkahwinan, pewarisan harta pusaka, jenayah, perniagaan, peperangan dan sebagainya.
Keenam, sejarah atau kisah umat terdahulu sebagai pengajaran. Sejarah atau kisah bukan hanya sekadar cerita dan halwa telinga semata-mata, malah perlu menjadi ibrah bagi umat Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya, pada kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal. (Al-Quran) itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan (kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu dan (sebagai) petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman." (Surah Yusuf: 111)
Al-Quran banyak merakamkan kisah umat terdahulu sama ada yang beriman dan taat kepada Allah SWT mahupun yang melakukan kemaksiatan serta keingkaran kepada-Nya.
Oleh itu, pemerhatian terhadap kisah umat terdahulu diharapkan kita boleh mencontohi umat yang taat kepada Allah SWT dan menghindari perbuatan maksiat kepada-Nya.
Ketujuh, dasar pengetahuan ilmiah termasuk aspek sains dan teknologi. Terdapat pelbagai ayat yang memberikan isyarat ilmu pengetahuan, sains dan teknologi yang berpotensi untuk dikembangkan bagi kemaslahatan dan kesejahteraan dalam kehidupan manusia.
Al-Quran sangat menekankan kepentingan penguasaan ilmu pengetahuan sehinggakan ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah menganjurkan manusia membaca sebagai proses belajar untuk menguasai ilmu.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang maha mulia, Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-'Alaq: 1-5)
Demikianlah isi kandungan al-Quran yang perlu difahami, dihayati dan diamalkan oleh seluruh masyarakat Islam dalam kehidupan seharian supaya mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.
Usaha memahami, menghayati dan mengamalkan al-Quran perlu digiatkan sama ada di surau, masjid, rumah atau di tempat kerja dengan pelbagai aktiviti seperti tadarus al-Quran, pengajian tafsir atau tadabbur al-Quran dan sebagainya.
Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... -kandungan-al-quran
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|