Henry Cavill rasmi menyarung ‘jubah’ Superman yang membawa erti dia kembali memerankan peranan adiwira terkenal sepanjang zaman itu.
Pengumuman Cavill kembali menjadi Superman dibuat aktor itu selepas spekulasi yang bertiup kencang tentang ‘kepulangannya’ bertebaran sejak Ogos lalu sebelum bintang Black Adam, Dwayne Johnson kerap memberikan klu DC Extended Universe (DCEU) berjaya membawanya ‘pulang’.
Foto: GeekTyrant/IG Cavill
“Sebenarnya saya ingat nak tunggu sehingga hujung minggu baru membuat pengumuman ini kerana saya mahu semua orang menikmati Black Adam terlebih dahulu.
“Tapi saya pasti setelah ramai yang menonton Black Adam, saya ingin mengumumkan secara rasmi, saya kembali sebagai Superman,” kata Cavill menerusi sedutan video yang dikongsikan dalam media sosialnya.
Ironi, babak Superman memang muncul sekilas dalam post credit filem Black Adam. Adiwira itu tampil berhadapan dengan Black Adam setelah antihero itu berhasil mengalahkan Ishmael Gregor atau Sabbac.
Atas kemunculan Superman di Black Adam itu, Cavill mengatakan bahawa apa yang disaksikan penonton di layar lebar hanyalah sebahagian kecil dari hal-hal yang akan datang.
Selain itu, aktor 39 tahun itu juga turut mengucapkan rasa terima kasih kepada penggemar yang telah menantikan kehadirannya kembali sebagai Superman.
“Saya sangat berterima kasih kepada anda semua. Terima kasih ada sokongan dan kesabaran menanti saya kembali. Saya janji penantian ini akan terbayar,” ujar Cavill lagi.
Henry Cavill pertama kali menjadi Superman ketika membintangi filem Man of Steel (2013).
Kemudian, dia juga turut tampil dalam projek-projek DCEU lainnya, termasuk Batman v Superman: Dawn of Justice (2016) dan dua versi filem Justice League yang tayang pada 2017 dan 2021.
Sumber: Gempak
|