View: 333|Reply: 0
|
[Kedah]
Rumah dinaiki air, warga emas hidap angin ahmar diselamatkan
[Copy link]
|
|
Anggota bomba menyelamatkan warga emas dalam kejadian banjir di Baling. - Foto ihsan bomba
BALING: Seorang warga emas yang menghidap angin ahmar, diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah apabila kediamannya ditenggelami banjir di Kampung Carok Sikin, Kupang, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Mohd Jamil Mat Daud, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara itu pada jam 9 pagi dan bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa, Robeah Ismail, 83.
Beliau berkata, Robeah ialah antara tiga warga emas yang diselamatkan dalam insiden banjir di kampung itu sebelum ditempatkan di rumah saudara-mara mereka yang lebih selamat.
"Syukur kerana air masih pada paras 0.5 meter ketika insiden, dan anggota berjaya mengeluarkan mangsa dengan cepat bagi mengelak kejadian daripada menjadi lebih buruk," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jamil berkata, penduduk yang tinggal berhampiran tebing Sungai Ketil dan Sungai Kupang diarah berpindah segera sekiranya air masuk ke rumah mereka.
Beliau berkata, penduduk yang sering terjejas dengan banjir kilat pula diarahkan berpindah lebih awal atas faktor keselamatan dan jangan menunggu sehingga keadaan semakin buruk dengan risiko arus deras, terutama pada waktu malam.
"Sekiranya hujan lebat melebihi dua jam, mereka perlu bersiap sedia untuk berpindah ke tempat selamat dan membawa segala dokumen penting.
"Jangan tunggu sehingga air memasuki rumah kerana bimbang mangsa akan terperangkap dan menyukarkan anggota untuk menyelamatkan mereka," katanya.
Tambahan pula, beliau memaklumkan keadaan hujan tidak menentu, selain kerap lebat pada petang dan berlarutan hingga malam.
"Malah, beberapa jalan utama dari Baling ke Kulim dan Sungai Petani turut dilimpahi air menyebabkan banyak kenderaan kecil terkandas.
"Justeru, penunggang motosikal dan kenderaan kecil dinasihatkan berhati-hati ketika melalui beberapa kawasan yang dinaiki air, selain mematuhi tanda amaran yang diletak oleh pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata, semua anggota dikerah melakukan pemantauan di beberapa lokasi yang berbahaya dan sering dilanda banjir.
"Pada musim tengkujuh ini, anggota telah bersiap siaga dengan kelengkapan menyelamat dalam usaha memastikan tidak ada kejadian buruk berlaku," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... -ahmar-diselamatkan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|