|
VAR selamatkan Liverpool
PENYERANG Liverpool, Darwin Nunez (tengah) melakukan tandukan ketika menentang Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, Liverpool malam ini. - AFP
LIVERPOOL: Kepulangan Darwin Nunez daripada penggantungan tiga perlawanan gagal membantu Liverpool melakar kemenangan ketiga dalam aksi Liga Perdana Inggeris apabila diikat 0-0 oleh musuh sebandar, Everton di Goodison Park, sebentar tadi.
Malah, Reds bernasib baik apabila jaringan Conor Coady pada minit ke-69 dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid.
Ketangkasan penjaga gol England, Jordan Pickford menyelamatkan beberapa percubaan bahaya Liverpool turut menyebabkan anak-anak buah Jurgen Klopp mencatat keputusan seri ketiga musim ini, sekali gus terlepas peluang untuk melonjak ke kelompok empat teratas liga buat kali pertama.
Benteng Liverpool yang banyak membantu jentera serangan juga hampir menyebabkan mereka dihukum oleh beberapa gerakan serangan balas yang dilancarkan Everton, namun penjaga gol, Alisson menyelamatkan keadaan.
Seperti yang dijangkakan, Liverpool menikmati bahagian besar penguasaan tetapi Everton yang dibimbing Frank Lampard memulakan permainan dengan semangat lebih tinggi.
Tendangan Tom Davies menggegarkan tiang, Virgil van Dijk pula dipaksa menyekat percubaan Neal Maupay, malah pada 40 minit pertama, Liverpool hampir tidak mengotorkan sarung tangan Pickford.
Begitupun selepas itu, Nunez mula mengganas dengan melakukan percubaan yang hanya meniti depan pintu gol lawan, kemudian tendangan Luis Diaz menggegar palang.
Memasuki babak kedua, Mohamed Salah, Roberto Firmino, Diogo Jota yang dibawa masuk semua mencipta peluang tetapi dinafikan oleh Pickford.
Biarpun enam minit waktu kecederaan diberikan oleh pengadil, namun keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas mengharungi enam perlawanan, Reds mencatat dua kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan.
Everton belum mencatat sebarang kemenangan. Hanya empat seri dan dua kekalahan. – AGENSI
|
|