|
Mampukah United tepis bedilan Gunners?
MANCHESTER: Manchester United (MU) dan Arsenal berdepan episod malang musim lalu selepas kedua-dua pasukan terlepas tiket Liga Juara-Juara.
Begitupun kini, mereka ibarat ‘harimau yang bangkit dari lena’ dan bersedia mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2022/2023.
Arsenal satu-satunya pasukan yang menang semua lima perlawanan liga musim ini, manakala United memenangi tiga aksi terakhir berturut-turut, sekali gus menjadikan pertembungan mereka di Old Trafford hari ini sukar diramal.
CRISTIANO Ronaldo (dua, kanan) melakukan persiapan akhir di Carrington semalam menjelang pertemuan getir menentang Arsenal pada saingan Liga Perdana Inggeris hari ini. – IHSAN MANCHESTER UNITED
Kehadiran senjata baharu United, Antony menjadikan perlawanan bertambah menarik, namun dalam usaha mencari formula kemenangan, Erik ten Hag mungkin membuat keputusan drastik kembali meletakkan Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama.
Mikel Arteta pula pening memikirkan kecederaan tonggak tengah, Martin Odegaard dan penjaga gol, Aaron Ramsdale ketika Reiss Nelson, Thomas Partey serta Mohamed Elneny sudah disisihkan lebih awal.
Begitupun penyerang sensasi Brazil, Gabriel Jesus yang telah meledak tiga gol bersama Gunners sejak tiba dari Manchester City bersedia membedil gawang Red Devils.
Jadon Sancho yang kembali menemui prestasi terbaik dengan meledak gol dalam dua daripada tiga aksi terakhir mendedahkan, kekalahan memalukan 4-0 kepada Brentford dan latihan tambahan kunci kebangkitan United.
Selepas dimalukan oleh Brentford pada 14 Ogos lalu, Ten Hag ‘menghukum’ pemainnya berlari sejauh 13.8 kilometer di bawah terik mentari bagi mengingatkan mereka betapa peritnya melepaskan gol yang banyak.
Pemain juga menjalani latihan sehingga pukul 11 malam, manakala sesi ‘hati ke hati’ selama dua jam antara pemain serta barisan kejurulatihan diadakan sehari selepas kekalahan itu.
KEKALAHAN kepada Brentford menjadi pengajaran berguna buat United.
“Saya rasa kekalahan kepada Brentford menjadi wake-up call buat pasukan dan kami memenangi tiga perlawanan berturut-turut selepas itu.
“Sekarang, kami bukan sahaja amat bersemangat untuk mencari kemenangan, malah latihan dan larian tambahan telah menjadikan pasukan lebih cergas,” katanya.
Bagi Arsenal, biarpun merekodkan lima kemenangan berturut-turut, namun isu kecederaan yang membelenggu bahagian tengah mengganggu tumpuan mereka.
Tanpa Partey dan Elneny, keadaan amat rumit buat Arteta, apatah lagi Gunners gagal membawa masuk Douglas Luiz pada hari terakhir jendela perpindahan.
MARTIN ODEGAARD
Situasi Odegaard pula tidak bagus selepas pemain itu cedera buku lali ketika menumpaskan Aston Villa 2-1, Khamis lalu, sekali gus meletakkan Emile Smith Rowe dalam ‘mode’ bersedia.
“Kami masih berharap mereka (Odegaard dan Ramsdale) dapat diturunkan, kami akan pantau keadaan mereka dan esok barulah kita mendapat jawapan,” kata Arteta. – AGENSI
|
|