|

Pesara Tentera, Amir Hassan ingin mengesan sahabat yang terputus hubungan sejak 50 tahun lalu. Foto Ahmad Ismail.
SEGAMAT: "Sebelum menutup mata, saya ingin bertemu dengan Siti Fatimah Hashim dan memberikan hadiah sebagai tanda perkenalan seperti dijanjikan pada 50 tahun lalu," kata pesara tentera, Amir Hassan.
Amir, 72, berkata dia berkenalan dengan Siti Fatimah pada Disember tahun 1970an dan pernah beberapa kali bertemunya di sekitar stesen keretapi di bandar raya Johor Bahru.
Beliau berkata, Siti Fatimah merupakan sahabat yang baik dan ketika itu wanita berkenaan hanya berusia 18 tahun.
Katanya, ketika itu dia turut berjanji mahu memberikan hadiah sebagai tanda perkenalan atau persahabatan kepada wanita berkenaan.
"Malangnya beberapa bulan selepas perkenalan itu, dia terputus hubungan kerana bertugas di Sarawak, manakala Siti Fatimah pula menetap di sebuah Felda di Kulai, Johor.
"Saya sudah berusaha menjejaki Siti Fatimah sejak bersara, namun gagal malah rakan-rakan selain pengurusan Felda juga membantu namun tidak memperoleh sebarang maklumat berkaitan.
"Saya sanggup mencarinya termasuk memeriksa maklumat di Pejabat Felda sekitar Kulai dan terdapat beberapa individu lain memiliki persamaan nama namun bukan Siti Fatimah yang ingin saya temui.
"Saya tidak berputus asa dan ingin terus mengesan Siti Fatimah yang mungkin kini sudah berkeluarga dan mencecah usia warga emas kerana mahu menunaikan hajat 50 tahun ini," katanya yang ditemui di kediamannya di Kampung Tasik Alai, Segamat di sini hari ini.
Amir berkata, dia yang pernah berkhidmat dengan unit Polis Tentera (MP) sebelum ini.
Menurutnya, dia berharap waris wanita terbabit tidak bersalah faham kerana niatnya bukan untuk menjalinkan kembali hubungan dengan wanita itu, sebaliknya bagi mengotakan janji suatu ketika dahulu.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerap tidak dapat melelapkan mata selagi janji tidak tertunai serta dapat menemuinya.
"Apa yang menyukarkan lagi pencarian sebab saya tidak mempunyai gambarnya, namun Siti Fatimah memiliki tahi lalat berhampiran kening kirinya serta rambut yang ikal mayang.
"Ada hajat janji yang ingin ditunaikan walau pun telah setengah abad janji Itu berlalu. Namun naluri saya menyatakan wanita Itu masih hidup," katanya yang juga seorang Imam.
Orang ramai yang mengenali atau mengetahui alamat Siti Fatimah Hashim diminta menghubunginya di talian 017-7111232.
https://www.bharian.com.my/berit ... janji-50-tahun-lalu |
|