|

Mohd Ikhwan Abd Rahman (kiri) menunjukkan projek jambatan yang merentasi Sungai Boh, Kukup Pontian. - Foto NSTP/Togi Marzuki
PONTIAN: Projek pembinaan jambatan merentasi Sungai Pulai sepanjang 7.5 kilometer (km) di Sungai Pulai, Kukup, di sini, sejak tiga tahun lalu didakwa menjejaskan mata pencarian nelayan.
Mereka mendakwa kira-kira 1,500 nelayan di lima pangkalan nelayan sekitar Sungai Boh hidup dalam kebimbangan kerana laluan keluar masuk semakin kecil dan cetek.
Wakil nelayan, Mohd Ikhwan Abd Rahman, 43, berkata pembinaan jambatan yang hanya kira-kira 200 meter dari beberapa pangkalan nelayan menyebabkan keluasan kawasan keluar masuk semakin kecil dan cetek.
Katanya, kerja-kerja pembinaan jambatan menyebabkan bahan binaan seperti batu dilonggok di tengah sungai, sekali gus menyebabkan nelayan sukar ke laut menangkap ikan.
"Demi membela nasib nelayan di kawasan sekitar, pelbagai usaha dilakukan dengan membangkitkan isu kepada pihak pemaju projek terbabit, namun sehingga kini masalah masih berlarutan.
"Berikutan itu, satu laporan polis di buat di Balai Polis Permas pada 13 Jun lalu," katanya.
Mohd Ikhwan, selaku bekas Ketua Pangkalan Nelayan Sungai Boh, berkata dia berharap pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya demi membela nasib nelayan yang antara mereka mempunyai ramai tanggungan termasuk anak masih bersekolah.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada penduduk dan kes diklasifikan serta dirujuk kepada Persatuan Nelayan Johor.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Johor, Azli Mohd Aziz, ketika dihubungi semalam berkata, beliau menyedari kesulitan dihadapi golongan nelayan terbabit.
Katanya, projek pembinaan jambatan dan jalan membabitkan kos RM650 juta dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula November 2017 merentasi Sungai Pulai bagi menghubungkan Mukim Serkat, Nusajaya dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
"Berikutan pembinaan jambatan berkenaan, pihak kami sudah membuat memorandum tuntutan Dana Kemanusiaan pada 2018 yang dikemukakan kepada pihak pemaju sebanyak RM2 juta.
"Bayaran itu sehingga kini belum diterima sebagai pampasan kepada golongan nelayan yang terjejas kerana laluan keluar semakin cetek dan kecil," katanya.
Menurutnya, sepanjang pembinaan dilaksanakan, pelbagai masalah dihadapi nelayan, selain timbunan bata dilonggokkan di tengah sungai.
"Selain tiada tanda amaran termasuk lampu bagi memudahkan nelayan keluar masuk, alat perangkap sampah diikat pada kayu bakau dan batu tidak sempurna dan sebahagian tali putus akibat arus deras dan pada masa sama beralih ke laluan nelayan keluar masuk," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ta-belum-dijelaskan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|