Johor Bahru : Kerajaan negeri membenarkan aktiviti ibadah korban sempena Hari Raya Aidil Adha tahun ini dilaksanakan di masjid dan surau terpilih.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, selain itu aktiviti penyembelihan juga boleh dilaksanakan di 153 Rumah Penyembelihan yang berdaftar dengan Pejabat Perkhidmatan Veterinar seluruh negeri ini.
Katanya sebanyak 64 masjid dan 68 surau seluruh Johor mendapat permit dan digezetkan sebagai pusat aktiviti penyembelihan yang lengkap pada sambutan ibadah korban kali ini.
"Namun, bagi masjid dan surau yang tiada permit penyembelihan dan mahu membuat penyembelihan, mereka boleh memohon dahulu dengan Pejabat Kadi dan dirujuk dengan Pejabat Veterinar.
"Pihak Veterinar akan turun padang dan melihat kesesuaian kawasan tersebut sebelum memberi kebenaran penyembelihan diluluskan ataupun sebaliknya.
"Mengikut peraturan yang disediakan, skiranya masjid dan surau tiada permit dan kebenaran, maka hanya dibenarkan untuk aktiviti melapah, membungkus dan edaran sahaja.
"Sekiranya tidak dibenarkan, jangan buat sembelihan dikawasan tersebut kerana boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 dan peralatan serta daging sembelihan akan dirampas, mengikut Seksyen 51 kaedah-kaedah Binatang Kawalan Penyembelihan 2009," katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.
Turut hadir Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor, Datuk Md Rofiki Samsudin.
Pelaksanaan ini mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam negeri sebagaimana peruntukan fasal 57 (A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1985 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003.
Dalam pada itu, Mohd Fared turut menjangkakan bekalan haiwan korban pada tahun ini mencukupi dan mampu menampung permintaan yang tinggi.