|
Patung pocong tidak sesuai untuk kanak-kanak

JUALAN patung pocong di sebuah platform beli-belah dalam talian menarik perhatian netizen dan tular di laman sosial facebook.
Johor Bahru: Patung pocong yang dijual di platform beli-belah dalam talian dianggap sebagai alat permainan yang boleh mengganggu perkembangan minda dan kerohanian kanak-kanak.
Seorang suri rumah, Azlina Othman, 35, berkata, ibu bapa tidak seharusnya terjebak dengan membeli patung pocong yang tular di laman sosial Facebook (FB).
Menurutnya, sebaliknya terdapat lebih banyak pilihan alat permainan lain yang sesuai dan boleh menyeronokkan kanak-kanak mengikut kesesuaian peringkat usia.
Katanyaa, patung pocong berkenaan dikhuatiri akan mengganggu perkembangan usia mereka.
"Patung pocong ini mungkin boleh menakutkan kanak-kanak dan menimbulkan imiginasi tidak sepatutnya.
"Pembelian patung ini bagi kanak-kanak adalah suatu perbuatan tidak sesuai kerana terdapat pelbagai alat permainan membantu perkembangan minda kanak-kanak.
"Bagi saya lebih gemar membelikan anak alat permainan bersifat pendidikan dan boleh diselit dengan beberapa jenis alat permainan kesukaan mereka.
"Kebiasaannya kanak-kanak perempuan menggemari patung Barbie manakala kanak-kanak lelaki menggemari kenderaan, oleh itu ibubapa boleh membelikan alat permainan sepertikereta, jentolak dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Asrama Kebajikan Ar Rayyan Mohamad Halimi Kolan berkata, alat permainan yang dipilih seharusnya memiliki ciri-ciri tertentu bagi membentuk minda dan membantu perkembangan kanak-kanak.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diutamakan adalah alat permainan berkenaan selamat, tidak mengandungi elemen kurang sesuai seperti keganasan atau kezaliman serta tidak menyinggung agama termasuk agama Islam.
Katanya, alat permainan yang dibekalkan juga boleh membawa kebaikan dan manfaat sekiranya ia berciri-ciri intektual serta membantu pendidikan fan pengetahuan kanak-kanak.
"Alat permainan seperti patung pocong adalah tidak sesuai dibelikan bagi kanak-kanak walaupun ia menjadi trend.
"Banyak lagi alat permainan yang sesuai dan jualan patung pocong seperti ini tidak seharusnya digalakkan kerana ia boleh membawa keburukan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Shazlli Ezzat Ghazali berkata, ibu bapa memainkan peranan bagi memantau jenis alat permainan anak masing-masing.
"Selalunya kanak-kanak mudah terpengaruh dengan kelompok usia sebaya dan apa yang dipilih sebagai hobi atau alat permainan adalah sesuatu yang dimain oleh rakan.
"Ibu bapa perlu mengambil tahu dan sekiranya dirasakan kurang sesuai, mereka seharusnya menasihati anak mereka.
"Kanak-kanak lebih terdedah dengan gajet dan teknologi terkini dan kadang-kala setiap kelompok yang mereka bergaul memiliki aktiviti tersendiri, sekiranya tidak dipantau mereka boleh terdedah kepada pelbagai perkara," katanya.
Sebuah platform beli-belah dalam talian didapati menawarkan patung pocong dengan harga RM140.
Patung pocong buatan Indonesia itu menjadi perbualan pengguna media sosial termasuk penduduk tempatan.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... i-untuk-kanak-kanak
|
|