|
Segelintir penduduk membuang sampah dari tingkat atas di Blok 22, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara hingga mencemari kawasan berkenaan. FOTO Ihsan Penduduk
Johor Bahru: Sikap gemar membuang sampah sesuka hati dalam kalangan segelintir penghuni di Blok 22 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara di Tebrau di sini, menjejaskan keselesaan keseluruhan penduduk.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Taman Desa Mutiara Nasir Abdullah berkata, ia bukan saja mengotorkan flat berkenaan malah menimbulkan kemarahan penghuni lain.
Menurutnya, sesetengah penduduk sanggup membuang sampah dari tingkat atas ke ruang parkir hingga ia 'melekat' pada kenderaan di situ.
"Hampir setiap hari perkara ini berlaku dan ia ketara di Blok berkenaan berbanding blok lain di sini.
"Secara keseluruhannya PPR ini memiliki 2,000 unit rumah dengan 11,000 penduduk.
"Kami kecewa apabila segelintir daripada mereka sengaja membuang sampah termasuk sisa makanan selain plastik, botol atau apa saja dari tingkat atas," katanya.
Nasir berkata, tidak dinafikan segelintir penduduk di situ berasal dari kawasan setinggan namun mereka seharusnya membuang mentaliti buruk dan bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, bangunan flat berkenaan dilengkapi dengan kemudahan tong sampah dan perkhidmatan mengangkut sampah secara berjadual.
Katanya, perkara seperti itu sepatutnya tidak berlaku dan mendatang masalah kepada penduduk untuk membuang sampah di tong disediakan.
"Ada yang membela binatang peliharaan selain ada juga yang bebas meletakkan barangan di ruang luar rumah hingga mengganggu jiran.
"Demi kebaikan semua penduduk, penghuni dinasihatkan supaya lebih berdisplin dan peka dengan isu kebersihan.
"Diharap pihak pengurusan bangunan juga mengambil tindakan terhadap penduduk yang bersikap tidak bertanggungjawab dan menjejaskan imej serta mengganggu keselesaan ramai," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... h-melekat-di-kereta |
|