|
ANTARA penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan. FOTO Ihsan polis.
Nilai: Keseronokan sekumpulan mat rempit yang menghabiskan hari minggu mereka dengan melakukan aksi bahaya terencat apabila ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Tasik Senangin, Mahkota Hill, Lenggeng, di sini, semalam.
Dalam operasi selama tiga jam bermula jam 5 petang itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Nilai mengeluarkan 43 saman dan menahan 10 penunggang bersama motosikal masing-masing.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, lokasi berkenaan dikesan sering menjadi 'litar lumba' kepada penunggang motosikal untuk melepaskan gian.
"Kesemua yang ditahan dan diperiksa adalah dalam lingkungan usia 16 hingga 30 tahun, manakala 43 saman dikeluarkan membabitkan 45 kesalahan.
"Kesalahan tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran adalah tertinggi masing-masing lapan kesalahan, diikuti tiada lesen (7), topi keledar (5), cukai jalan tamat tempoh (4), ubahsuai ekzos (3) dan selebihnya kesalahan lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Fazley berkata, terdahulu hasil risikan dan intipan di lokasi pihaknya mendapati sekumpulan penunggang motosikal menunggang dengan berbahaya dan mengeluarkan bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman penduduk setempat.
"Mereka juga tidak memakai topi keledar selain tidak mengendahkan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
"Terdapat segelintir penunggang motosikal yang masih tidak serik walaupun kami pernah melaksanakan beberapa siri operasi di kawasan itu sebelum ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mpit-hanya-seketika |
|