View: 443|Reply: 0
|
Bukan kemenangan mudah - Mora
[Copy link]
|
|
Pemain JDT Fernando Martin Forestieri melakukan rembatan ke gawang Sarawak pada aksi pusingan kedua Piala FA malam tadi. - BERNAMA
JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan kemenangan 3-0 ke atas Sarawak United FC (SUFC) pada aksi pusingan kedua kalah mati Piala FA malam tadi bukan mudah.
Menurutnya, pemainnya terpaksa bekerja keras untuk mengimbangi kekuatan skuad kendalian B Sathiananthan yang kerap menutup ruang sekali gus menyukarkan pergerakan.
"Mungkin nampak mudah untuk menang tapi hakikatnya ia sukar kerana kami perlu pastikan corak permainan dan taktikal tersusun selain pemain sentiasa beraksi konsisten sepanjang 90 minit tanpa melakukan kesilapan.
"Kami menghormati Sarawak tapi kami harus mengambil kesempatan daripada momentum permainan yang konsisten untuk mencapai kemenangan dan ia dilakukan dengan baik bagi memastikan kami layak ke suku akhir.
"Pada aksi itu, kami ubah taktikal permainan sebanyak tiga kali bagi mengelirukan pasukan lawan, malah kami beri peluang untuk pemain yang kurang minit permainan seperti Aidil Zafuan (Abd Radzak), Daniel Amir, Safawi (Rasid) dan Ramadhan (Saifullah) kerana mereka penting dalam skuad JDT.
"Beberapa tonggak utama seperti Shane (Lowry), Leandro (Velazquez) dan Natxo (Insa) tidak dapat diturunkan kerana belum pulih daripada kecederaan," katanya.
Mora juga bersimpati dengan kegagalan Bergson Da Silva yang kurang menjadi pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu selepas beberapa percubaan gagal menggegar gawang.
Pada perlawanan itu, JDT sudah mendahului seawal minit keenam menerusi sepakan percuma Nazmi Faiz
sebelum Fernando Forestieri meledak dua gol pada minit ke-15 dan 42.
Sementara itu, Sathiananthan mengakui sudah menjangka akan tumpas kepada JDT dan reda dengan kekalahan yang dialami apabila tersingkir daripada saingan Piala FA musim ini.
"Saya bukan jenis jurulatih yang suka bercerita yang kami mampu mengimbangi kekuatan JDT atau menyaingi kehebatan pasukan itu. Ini adalah realiti kami menentang pasukan yang beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan sudah tentu agak sukar untuk menang.
"Ini adalah pembelajaran bagi kami, nilai sendiri bagaimana pemain JDT mengawal bola dan mengumpan bola dengan efektif. Itulah kualiti yang ada kepada JDT malah saya berharap dalam pasukan Sarawak akan ada pemain berkualiti.
"Ada yang tanya kepada saya kenapa tidak beraksi dengan corak menyerang tetapi bagi saya jika bermain sebegitu ibarat membunuh diri," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... menangan-mudah-mora |
|
|
|
|
|
|
| |
|