View: 413|Reply: 0
|
JDT bergaya ke suku akhir Piala FA
[Copy link]
|
|
BERGSON diasak pemain Sarawak United. FOTO Bernama
Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Sarawak United FC (SUFC) 3-0 pada aksi pusingan kedua kalah mati saingan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan itu dihasilkan oleh jaringan Nazmi Faiz Mansor dan dua gol Fernando Forestieri pada babak pertama yang memastikan langkah juara Piala FA 2016 ke suku akhir tidak tersekat tatkala SUFC sebelum perlawanan tampak mahu mengejutkan skuad Harimau Selatan.
Apapun, lawan JDT pada peringkat suku akhir yang mengekalkan pertembungan kalah mati akan ditentukan menerusi undian yang akan ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas berakhirnya saingan pusingan kedua nanti.
Bermulanya aksi babak pertama, skuad kendalian Benjamin Mora menguasai permainan dengan melancarkan gerakan dan seawal minit keenam gol yang dicari terhasil menerusi sepakan percuma Nazmi Faiz dari jarak 20 meter tepat ke penjuru kiri gawang yang menyaksikan penjaga gol, Tauffiq Ar Rasyid Johar tergaman melihat bola menerjah jaring.
Forestieri hampir mencipta gol kedua buat JDT pada minit kesembilan apabila bertindak pantas merembat bola dari luar kotak penalti selepas bola umpanan Matthew Davies namun rembatan pemain import dari Argentina itu hanya sipi disebelah kanan gawang ketika Tauffiq sudah tertewas.
Berpunca daripada gerakan Corbin Ong pada minit ke-15, Bergson bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan merembat bola leret menyebabkan Tauffiq gagal menangkap bola kemas dan kesempatan itu diambil oleh Forestieri yang mudah menolak bola masuk untuk meletak JDT selesa mendahului 2-0.
Corbin sekali lagi memainkan peranan bagi membolehkan Forestieri meledak gol kedua peribadi pada minit ke-42 selepas umpanannya menyaksikan pemain berjersi 45 itu merembat bola kencang dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kiri menewaskan Tauffiq.
Bersambung babak kedua, SUFC hampir mencipta jaringan pada minit ke-52 apabila pemain gantian Lee Chang-hoon merembat bola kencang dari luar kotak penalti tapi penjaga gol, Farizal Marlias berada di posisi terbaik untuk menepis bola.
Apapun, pada aksi itu, Bergson menjadi penyerang paling malang selepas beberapa percubaan terutama pada babak pertama dan kedua yang mampu diterjemah dengan jaringan sering gagal sama ada bola sepakannya sipi dari gawang gol atau terkena pertahanan lawan namun keputusan 3-0 yang memihak JDT sudah memadai untuk pasukan itu melangkah ke peringkat suku akhir.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... suku-akhir-piala-fa |
|
|
|
|
|
|
| |
|