KEPALA BATAS: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengesahkan tiada jangkitan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dilapor membabitkan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) serta Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di bawah kendaliannya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata pihaknya percaya tindakan ibu bapa yang mengambil langkah pencegahan awal dengan tidak menghantar anak yang dijangkiti HFMD ke TABIKA atau TASKA membantu mengekang penularan di premis itu.
"Setakat ini, memang kita tidak menerima sebarang laporan daripada Pengarah KEMAS seluruh negeri yang memaklumkan ada TABIKA mahupun TASKA ditutup kerana murid dijangkiti HFMD.
"Apa yang kita tahu, ada yang dijangkiti tetapi bukan mendapat jangkitan di premis kendalian kita, sebaliknya di rumah yang mana ibu bapa mereka melakukan kuarantin ke atas anak-anak mereka, sekali gus tiada penularan penyakit itu dikesan di 10,830 TABIKA dan 545 TASKA di bawah KEMAS," katanya ketika sidang media selepas Program Asnaf Berdikari di Pusat KEMAS Paya Keladi, di sini, hari ini.
Mohamad Yasid berkata, pihaknya turut menjemput wakil Kementerian Kesihatan (KKM) ke TABIKA dan TASKA untuk memberi penerangan berhubung penyakit yang melanda termasuk langkah perlu diambil sekiranya dijangkiti.
"Dalam pada itu, amalan kebersihan diri diterapkan kepada murid juga menjadikan keadaan persekitaran premis kita sentiasa selamat dan bersih.
"Amalan seperti membasuh tangan contohnya setiap hari sudah kita laksanakan dan bukan hanya tunggu ada kes baharu kita lakukan. Ia menjadi prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi," katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum itu memaklumkan kes jangkitan HFMD di negara ini menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda sehingga minggu epidemik (ME) 17/2022, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sebanyak 22,463 kes HFMD dilaporkan seluruh negara sepanjang tempoh itu berbanding 1,752 kes bagi ME 17/2021. Tiga negeri mencatat kes tertinggi setakat tempoh itu adalah Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor serta Perak.