View: 389|Reply: 0
|
Luqman menyinar benam Laos
[Copy link]
|
|
AKSI Luqman Hakim (kiri) melepaskan rembatan ke gawang Laos. FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Aib di bumi Kemboja pada saingan Piala AFF bawah 23 (B-23) pada Februari lalu akhirnya terbalas apabila skuad Harimau Muda negara mudah menewaskan Laos 3-1 dalam aksi Kumpulan B saingan Sukan Sea di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, sebentar tadi.
Kemenangan itu nyata cukup bermakna di mana ia bukan sahaja melunaskan dendam lama, malah kejayaan mengutip tiga mata kedua itu meletakkan skuad kendalian Brad Maloney selaku pendahulu dengan mengumpul enam mata daripada dua aksi dilalui.
Pada aksi pertama Sabtu lalu, Malaysia menang ke atas Thailand dengan 2-1 dan kini di landasan tepat untuk mara ke separuh akhir sekali gus berpeluang menamatkan kemarau pingat emas selama 11 tahun yang kali terakhir dimenangani pada temasya di Jakarta, Indonesia 2011 lalu.
Dalam aksi itu, Maloney membuat tiga pertukaran dalam kesebelasan utama dengan merehatkan Azam Azmi Murad, Azrin Afiq Rusmini dan Hairiey Hakim yang mengalami kecederaan sebelum ini ketika aksi dengan Thailand.
Sebaliknya, jurulatih dari Australia itu mempertaruhkan Quentin Cheng, Faiz Amer Runnizar dan Safwan Mazlan dan pilihan itu jelas membuahkan hasil apabila skuad negara menguasai permainan sejak awal.
Namun gol yang diburu hanya menjelma pada minit ke-32 menerusi ledakan penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang bijak melepasi perangkap offside untuk menyambut hantaran Nik Akif Syahiran bagi meletakkan Malaysia mendahului 1-0.
Jentera serangan negara terus bernafsu dan kali ini giliran Muhamad Syahir Bashah mencetak nama selaku penjaring di minit ke-43 hasil rembatan dari luar kotak yang gagal sama sekali ditampan Keo Oudone.
Rentak sama diteruskan pada baki 45 minit babak kedua dengan penguasaan menyeluruh Malaysia.
Luqman yang beraksi di Belgium bersama KV Kortrijk sejak dua musim lalu menghasilkan gol ketiga negara di minit ke-68, yang juga gol peribadi keduanya dalam aksi itu.
Ketika skuad negara memperlahankan rentak pada 10 minit terakhir, Laos yang dibimbing Hans Michael Weiss nyaris meraih gol namun tandukan Phoutthasay sempat di tepis keluar Azri Ab Ghani.
Begitupun, gawang negara akhirnya bocor jua pada minit ke-84 hasil ledakan Visith yang melencongkan bola buat menewaskan Azri. Selepas ini skuad negara dijadual bertemu Singapura Sabtu ini dan kemenangan ke atas jiran tetangga itu menjamin tiket Malaysia ke separuh akhir.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... menyinar-benam-laos |
|
|
|
|
|
|
| |
|