Kebakaran di sebuah gudang penyimpanan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdor, Nibong Tebal, awal pagi tadi. - Foto ihsan JBPM
NIBONG TEBAL: Sebuah gudang penyimpanan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdor, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap dengan bantuan BBP Nibong Tebal, Perai, Batu Kawan dan Bandar Perda, bergegas ke lokasi sebaik saja menerima panggilan kecemasan pada jam 5.45 pagi berhubung insiden berkenaan.
Katanya, setiba di lokasi, pasukan mendapati tiga struktur gudang penyimpanan cecair mudah terbakar sedang dijilat api, dengan anggaran kemusnahan 70 peratus.
"Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu. Kerja pemadaman dilakukan dengan bantuan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Perai.
"Hingga kini, kerja 'overhaul' masih dijalankan bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.