Berniaga bukan sekadar untuk meraih pendapatan semata-mata, sebaliknya perlu disertai keikhlasan dan nawaitu yang betul agar rezeki lebih berkat.
Sejak awal Ramadan, kerancakan bazar-bazar di seluruh negara sememangnya dirindui lebih-lebih lagi selepas dua tahun ia menjadi larangan berikutan penularan Covid-19.
Gambar hiasan/ Kredit foto: Afiq Halid
Namun, di sebalik kerancakan suasana tersebut, boleh dikatakan saban hari kita dihidangkan dengan perkongsian kurang menarik daripada netizen mengenai kualiti makanan yang dijual.
Begitu juga halnya dengan seorang pelanggan ini yang berkongsi kisah malang apabila ayam bakar yang dibelinya kurang masak selain berbau busuk.
Menurut Muhamad Harris Nasril, disebabkan mahu menuntut hak sebagai seorang pengguna, dia kembali ke gerai berkenaan pada keesokan harinya dan bersemuka dengan peniaga makanan terbabit.
Bagaimanapun menurut Muhamad Harris, jawapan yang diberikan oleh peniaga tersebut selepas itu sedikit mengecewakannya.
Seolah-olah mahu mengelak apabila terpaksa memberi ganti rugi, peniaga berkenaan berkata tekstur dan warna daging ayam bakar sememangnya seperti gambar yang ditunjukkannya.
Namun Muhamad Harris berkata, dia menegaskan kejadian ayam berbau itu adalah kali pertama berlaku sejak beberapa kali dia membeli juadah yang sama daripada peniaga berkenaan sebelum ini sehingga terpaksa dibuang semua.
Dengan wajah yang jelas seperti tidak berpuas hati, Muhamad Harris berkata dia sekali lagi diminta untuk menunggu seketika sementara ayam siap dibakar dan diberi sebagai ganti rugi.
Beberapa ketika menunggu, akhirnya peniaga tersebut menyerahkan seekor ayam bakar kepadanya sebagai ganti.
Perkongsian kisah tersebut mengundang reaksi yang pelbagai daripada netizen dengan rata-ratanya memuji kesabaran pelanggan berkenaan.
Sumber: mStar |