|
WILLIAM Khoo (atas, kiri) bersama Ahmad Fuzi Abdul Razak (atas, tengah) dan asnaf-asnaf terpilih yang diberikan hadiah berupa motosikal dan basikal pada Majlis Iftar 2022: 'Asnaf Disantuni' di Pejabat Daerah dan Tanah SPT, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.
BUKIT MERTAJAM: “Boleh dikatakan semua pelanggan kami adalah Melayu (Islam). Jadi, kami ingat nak bagi balik sumbangan kepada mereka yang banyak sokong kami selama ini dan menganggap pemberian kami ini seperti ‘zakat’.”
Itu kata pengarah urusan syarikat perniagaan motosikal, KB Soon Huat Motor Sdn. Bhd., William Khoo ketika ditanya mengenai kesudian menyumbangkan motosikal kepada asnaf terpilih secara percuma walaupun berbangsa Cina dan bukan beragama Islam.
Menurut William, program pemberian hadiah motosikal itu telah bermula sejak tujuh tahun lalu, namun terhenti kira-kira dua tahun lepas akibat penularan pandemik Covid-19 sebelum disambung semula tahun ini.
“Setiap tahun kita akan sediakan sebanyak dua buah motosikal dan dua buah basikal selain duit raya kepada semua asnaf berkenaan.
“Tahun ini ada 30 asnaf dan empat asnaf istimewa akan menerima hadiah ini (motosikal dan basikal) manakala yang lain akan menerima duit raya sebanyak RM100 dan barang keperluan yang bernilai kira-kira RM80,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa Majlis Iftar 2022: ‘Asnaf Disantuni’ di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Tambah William, pemilihan asnaf yang layak untuk menerima sumbangan itu dibuat dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah SPT kerana mereka memiliki senarai asnaf berdaftar dalam daerah ini.
Dalam pada itu, seorang asnaf, Roslee Zainol, 48, bersyukur kerana terpilih sebagai antara dua penerima sumbangan motosikal oleh syarikat berkenaan.
“Saya penjual ayam dan motosikal yang saya guna ketika ini adalah motosikal yang sama saya gunakan untuk mengangkut ayam serta membawa anak-anak ke sekolah.
“Semoga pemberian motosikal baharu ini akan memudahkan lebih banyak urusan saya sekeluarga selepas ini,” kata bapa kepada empat anak itu yang juga merupakan seorang guru agama sambilan di sini.
Bagi seorang lagi penerima iaitu Norzilawati Jaya, 47, pemberian motosikal baharu itu umpama ‘bulan jatuh ke riba’ baginya.
“Saya seorang sukarelawan dan banyak keluar untuk membantu orang lain dengan menunggang motosikal.
“Namun, sejak akhir-akhir ini motosikal saya selalu rosak. Alhamdulillah, saya terpilih untuk menerima motosikal baharu dan pemberian ini saya anggap sebagai rezeki sempena hari raya,” kata ibu kepada enam anak itu yang juga seorang pengurus jenazah wanita. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... laupun-bukan-islam/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|