GEORGETOWN: Dua penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) bukan Islam tidak kekok membantu kerja-kerja dapur ketika menyertai aktiviti sukarelawan dalam menyediakan juadah iftar di Masjid Al Malik Khalid, Pusat Islam USM, di sini.
Sikap ditonjolkan Goh Wei Hai, 25, dan Yap Wen Yan, 22, juga menjadi contoh dalam kalangan penuntut bukan Islam lain bagi membantu tanpa mengira etnik dan agama ketika Ramadan.
Wei Hai yang juga penuntut tahun tiga Teknologi Biosumber, berkata, dia mula menyertai aktiviti sukarelawan beberapa tahun lalu ketika menyambung pengajian di sebuah politeknik.
Dia yang fasih berbahasa Melayu berkata, antara aktiviti sukarelawan yang disertainya ialah ketika Hari Raya Aidiladha dan beberapa program gotong-royong.
"Ini adalah kali pertama saya sertai aktiviti sukarelawan memasak makanan kepada penuntut dan kakitangan di sini, selain dapat belajar memasak nasi yang digemari masyarakat Melayu iaitu 'nasi Apolo'.
"Bagi saya apabila masuk ke universiti, bukanlah fokus untuk belajar semata-mata, tetapi perlu tahu mengenai keperluan orang lain dan saling membantu," katanya yang berasal dari Jeram, Selangor itu ketika ditemui.
Penuntut tahun tiga bidang Pengurusan Kewangan, Wei Yan pula berkata, ia adalah kali kedua dia menyertai aktiviti sukarelawan menyediakan juadah iftar di kampus itu.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, biarpun sering menjadi sukarelawan, namun pengalaman dan suasananya adalah berbeza.
"Seperti kali ini, saya dapat masuk ke kawasan Pusat Islam dan didapati masyarakat Muslim amat bertoleransi selain dapat belajar mengenai adab.
"Seronok dapat 'rewang' bersama sukarelawan lain dan berikutan gemar memasak, saya juga belajar masakan enak masyarakat Melayu," kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.
Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam USM, Mohamad Hariz Abdul Razak, berkata terdapat sukarelawan bukan Islam yang berbeza setiap hari dan menyertai program berkenaan mengikut kelapangan masing-masing.
Katanya, setiap hari mereka membantu menyediakan lebih 2,500 pek makanan iftar kepada penuntut dan kakitangan selain kepada individu yang menjalani kuarantin akibat COVID-19.
"Aktiviti ini sudah diadakan sejak lebih 15 tahun lalu dan terdapat lebih 250 sukarelawan, kakitangan dan ahli kariah yang menyertainya pada tahun lalu.
"Program berkenaan mendapat sokongan daripada badan korporat, kariah masjid dan orang awam malah kita merancang bagi memperbesarkan bahagian dapur bagi memudahkan kerja sukarelawan akan datang," katanya.