View: 905|Reply: 0
|
Syukuri kehadiran Ramadan
[Copy link]
|
|
Syukuri kehadiran Ramadan
RAMADAN bulan yang membawa seribu satu rahmat daripada Allah SWT untuk hamba-Nya yang bergelar umat Nabi Muhammad SAW. FOTO AFP
Kita sekarang berada pada penghujung Syaaban. Bulan Syaaban adalah bulan yang hampir dengan satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT iaitu Ramadan. Selepas berakhirnya Syaaban, maka tibalah bulan Ramadan yang membawa seribu satu rahmat daripada Allah SWT untuk hamba-Nya yang bergelar umat Nabi Muhammad SAW.
Setiap perkara yang mempunyai kepentingan dalam hidup, pastinya kita akan melaksanakan perkara tersebut dengan sebaik mungkin. Mengapa hal ini berlaku sedemikian? Tidak lain dan tidak bukan, kerana kita mahukan natijah yang terbaik daripada perkara tersebut. Maka kita akan lakukan apa sahaja bagi memastikan kita memperoleh kejayaan atau apa sahaja yang diimpikan. Salah satu cara untuk memastikan kita mendapat apa yang kita impikan ialah dengan melakukan persediaan secukupnya.
Cuba bayangkan apabila kita ingin mendirikan rumah tangga pada satu tarikh tertentu. Perkahwinan merupakan satu impian bahagia yang diidamkan oleh setiap insan. Ia adalah satu detik yang amat istimewa, maka untuk memastikan detik tersebut dikecapi dengan sebaiknya, maka kita akan melakukan persedian yang secukupnya. Mungkin sebulan sebelum tarikh perkahwinan atau tiga bulan sebelumnya atau lebih lama lagi, kita melakukan persediaan yang secukupnya.
Begitu jugalah sepatutnya yang berlaku apabila kita menghampiri bulan Ramadan al-Mubarak. Meskipun bulan ini sering kali kunjung tiba dalam diari kehidupan kita, namun ia adalah tempoh yang amat berharga bagi hamba-Nya yang memahami hakikat keberkatan dan keluasan rahmat Allah SWT yang diturunkan khusus pada bulan Ramadan. Ia bukan satu tawaran yang menjadi pilihan untuk direbut dan dimanfaatkan, sebaliknya ia satu kemestian. Kita mesti merebut peluang yang dianugerah oleh Allah SWT kepada umat Muhammad SAW.
Oleh itu, sementara masih berbaki beberapa hari lagi sebelum memasuki bulan Ramadan, eloklah kita membuat persiapan yang secukupnya. Mungkin Ramadan kali ini merupakan peluang terakhir kita bertemu dengannya. Kesemuanya dalam takdir Allah SWT. Apa pun, kita perlu berdoa semoga Allah SWT memilih kita untuk menjadi hamba-Nya yang mendapat manfaat daripada kehadiran bulan Ramadan kali ini.
Antara persediaan utama sebelum kita menjalani ibadah puasa ialah perlunya kita memahami hakikat pensyariatan puasa. Ia adalah satu ibadah yang mempunyai kaitan dengan takwa. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman. Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Menurut al-Shaykh Abd al-Rahman As-Sa'di dalam Tafsir As-Sa'di tatkala menjelaskan maksud ayat al-Quran tersebut: "Sesungguhnya puasa termasuk salah satu sebab terbesar meraih ketakwaan, kerana dalam ibadah puasa terdapat bentuk pelaksanaan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya… Dan di antara bentuk-bentuk ketakwaan daripada ibadah puasa ini bahawa orang yang berpuasa melatih dirinya untuk sentiasa berasa diawasi oleh Allah SWT, sehingga dia meninggalkan sesuatu perkara yang disukai oleh dirinya (makan dan minum pada waktu siang), sedangkan dia mempunyai kemampuan untuk melakukannya, (namun dia tidak melakukan larangan tersebut) kerana dia meyakini bahawa Allah mengawasinya."
Begitulah tingginya nilai takwa yang dapat dicapai oleh seseorang hamba Allah SWT yang benar-benar memahami hakikat pensyariatan ibadah puasa. Banyak cara lain yang boleh kita lakukan untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT, namun ketakwaan yang diperoleh daripada pelaksanaan ibadah puasa sangat tinggi martabatnya. Sebab itulah Allah SWT menjelaskan bahawa di antara tujuan pensyariatan ibadah puasa kepada umat Islam dan umat terdahulu agar mereka bertakwa.
Selain itu, banyak lagi persediaan yang boleh kita lakukan sebelum tibanya Ramadan. Bacalah buku berkaitan soal jawab puasa. Sememangnya banyak persoalan yang timbul berkenaan perkara sunat ketika berpuasa, perkara yang membatalkan puasa, perkara yang mengurangkan pahala puasa dan sebagainya. Semua ini perlu kita fahami dengan baik bagi memastikan kualiti ibadah puasa yang kita laksanakan berada pada tahap yang terbaik.
Kepesatan dunia penyampaian maklumat hari ini menyebabkan banyak program di televisyen dan radio yang memaparkan perbincangan tentang ibadah puasa. Tidak ketinggalan di masjid, surau, sekolah malah di pejabat, banyak program yang diadakan khusus untuk membincangkan soal ibadah puasa. Media cetak termasuk akhbar dan risalah agama juga banyak memuatkan perbincangan tentang bulan Ramadan dan tuntutan ibadah sepanjang bulan tersebut. Maka apa lagi yang kita mahukan? Rebutlah peluang ini untuk kita mantapkan pemahaman tentang ibadah puasa.
Usah ada sikap bahawa kita telah sekian lama menunaikan ibadah puasa, maka tiada keperluan untuk mendalami ilmu tentang puasa. Ini antara sikap angkuh orang yang tidak memahami kelebihan ibadah puasa dan kemuliaan Ramadan. Mungkinkah sama ibadah puasa yang kita lakukan ketika berumar sepuluh tahun dengan ibadah puasa yang bakal kita tunaikan ketika sekarang umur mencapai tiga puluh atau empat puluh tahun? Hanya dengan ilmu yang betul, kualiti ibadah puasa dapat ditingkatkan.
Jika ilmu puasa dikuasai dengan baik, maka tidak akan timbul orang yang berpuasa, namun meninggalkan solat fardu. Begitu juga tidak akan ada orang yang berpuasa, namun masih mengumpat, membuka keaiban orang lain atau menyebar fitnah di bulan Ramadan. Inilah perkara yang perlu diambil perhatian sebaiknya kerana Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita tentang adanya orang yang berpuasa tetapi mereka tidak mendapat pahala daripada puasanya melainkan yang mereka perolehi lapar dan dahaga sahaja.
Semangat untuk menanti kehadiran Ramadan menandakan diri mensyukuri salah satu nikmat besar Allah SWT kepada hamba-Nya. Keistimewaan Ramadan tidak diberikan kepada umat terdahulu, ia hanya untuk umat Rasulullah SAW. Justeru, mensyukuri nikmat kurniaan berada dalam bulan Ramadan akan membuka pintu rahmat Allah SWT untuk terus dikurniakan kesempatan berada pada bulan Ramadan seterusnya.
Sahabat Rasulullah SAW telah menunjukkan semangat luar biasa menanti kehadiran Ramadan dengan penuh pengharapan. Merekalah contoh golongan manusia yang memahami erti nikmat menemui Ramadan lalu menzahirkan kesyukuran dengan mengharapkan rezeki berada dalam bulan mulia tersebut. Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan penjelasan dalam kitabnya Lata'if al-Ma'arif: "Mereka (sahabat) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar mereka dapat menemui bulan Ramadan." Penjelasan yang sangat jelas ini menggambarkan keterujaan sahabat Rasulullah SAW untuk berada dalam bulan Ramadan dan melaksanakan tuntutannya.
Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... i-kehadiran-ramadan
|
|
|
|
|
|
|
| |
|