Bukan mengejar bayaran, Mohd Sharizam Md Salleh yang memulakan kerja sampingan sebagai penggali kubur sejak lapan tahun lalu melakukan pekerjaan itu dengan ikhlas kerana minat. Pemuda yang yang baru berusia 31 tahun itu berkata kerja tetapnya adalah sebagai tukang rumah.
Pada awal kerjaya itu, Shahrizam sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengalaman namun dia perlahan-lahan belajar sehingga mahir. Walaupun tersemat sekelumit rasa takut dalam jiwa, opemuda itu bagaimanapun belum terfikir untuk berhenti melakukan tuntutan fardu kifayah itu.
Dia bersyukur kerana majikannya memahami kerja sampingan yang dilakukannya. Setiap kali ada panggilan untuk menggali kubur, majikannya tidak mempunyai sebarang masalah memberikan keizinan buat pemuda itu.
Memetik laporan Harian Metro, dia kali pertama terbabit dengan proses mengebumikan jenazah ketika kakaknya meninggal dunia pada 2013. Dia diajar untuk membuat bebola tanah atau 'bantal' jenazah sebelum diberikan peluang menggali kubur.
"Mulanya memang ada rasa takut sampaikan balik ke rumah pun saya terbayang-bayang jenazah walaupun sudah dikebumikan. Ada juga terakam gambar kelibat di tanah perkuburan tetapi lama-kelamaan perasaan itu hilang sebab sudah terbiasa keadaan di tanah perkuburan," katanya.
Sepanjang pembabitannya sebagai penggali kubur, banyak pengalaman yang dialaminya memberikan keinsafan pada diri. Ada sesetengah urusan pengebumian yang mendorong dirinya untuk melakukan lebih banyak amalan baik sebagai persiapan sebelum dijemput Ilahi.
"ernah mayat dari tanah perkuburan lama dipindahkah ke Tanah Perkuburan Islam Bandar Paloh. Ketika proses pemindahan, ada satu mayat lelaki dikatakan warga Indonesia masih dalam sempurna seperti baru sahaja dikafankan. Menurut orang kampung, arwah dahulunya adalah guru mengaji.
"Kejadian lain yang pernah saya alami adalah terjumpa ular hitam selain menggali kubur dalam keadaan liang lahad berair. Bagaimanapun, saya angtgap ia sebagai cabaran. Pengalaman mengebumikan jenazah pesakit Covid-19 juga tidak kurang hebatnya kerana perlu memakai sut pakaian perlindungan diri.
"Tidak semua individu dapat merasakan pengalaman seperti itu. Bagi saya, pengalaman seperti itulah yang membuatkan penggali kubur ini istimewa. Kami diberi peluang untuk muhasabah diri dan cuba perbaiki kelemahan sebagai hamba Allah," katanya.
Aktif bersiaran langsung di TikTok ketika berada di tanah perkuburan, Shahrizam menjelaskan tidak semua perkara atau kejadian dirakam dan dipertontonkan kepada orang ramai. Dia berbuat sedemikian untuk memberikan kesedaran kepada umum bahawa setiap manusia itu pasti akan mati.
"Ada anggota keluarga arwah yang berterima kasih kerana saya lakukan siaran langsung kerana mereka yang tidak sempat ke tanah perkuburan sekurang-kurangnya dapat menonton di siaran langsung yang saya lakukan.
"Ada baiknya juga platform TikTok sebab saya dapat tunjukkan cara gali kubur dan yang menonton juga dapat mendoakan si mati. Macam biasalah, ada yang berikan maklum balas dan ada juga negatif mempertikaikan tindakan saya live di tanah perkuburan," katanya yang mula aktif di TikTok sejak Disember lalu. -CARI