|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/obj33105376_1647763347.jpg)
ANTARA tan daun ketum yang dirampas APMM. FOTO ihsan APMM
Alor Setar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 2.2 tan daun ketum, 0.15 batu nautika dari muara Kuala Sala, 6 pagi, hari ini.
Rampasan dilakukan berdasarkan maklumat dan risikan berkaitan pemunggahan mencurigakan di muara Kuala Sala.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, longgokan plastik hitam mencurigakan dikesan dalam keadaan berselerak di tepi muara ketika rondaan Op Aman di perairan Kuala Kedah.
"Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan plastik berkenaan menemukan daun hijau disyaki daun ketum berjumlah 220 bungkus dan dianggarkan seberat 2.2 tan yang dipercayai baru diletakkan di lokasi terbabit.
"Kesemua daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Azreyanti berkata, kesemua hasil rampasan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM396,000.
Beliau berkata, daun ketum yang dirampas itu kemudian dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan terbabit.
"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|