View: 932|Reply: 0
|
Jati diri kuat tolak kekerasan
[Copy link]
|
|
Jati diri kuat tolak kekerasan
MYPCVE diharap menyediakan inisiatif dan tindakan yang dapat membantu kita membina Keluarga Malaysia yang mampan serta harmoni.
Sejak merdeka Malaysia melalui pelbagai ancaman pelampau yang berasal daripada pelbagai fahaman.
Sejurus selepas berakhir Perang Dunia Kedua sehingga Perjanjian Hatyai 1989, negara berhadapan ancaman pengganas komunis yang memiliki ideologi ganas dan bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.
Sejak 1960-an sehingga 1980-an, kemunculan beberapa kumpulan pelampau seperti Tentera Sabilullah (1967), Kumpulan Crypto (1977) dan Kumpulan Jundullah (1987) adalah kumpulan pelampau berasaskan ideologi agama. Tidak ketinggalan kemunculan ajaran sesat seperti Ajaran Tuhan Harun.
Era 1990-an pula menyaksikan kemunculan kumpulan pelampau seperti Jamaah Islamiyyah dan Darul Islam Sabah yang berpaksikan ideologi Salafi Jihadi. Era Daish di Iraq-Syria pula mewujudkan sel radikal seperti Revolusi Islam, Briged Khalid al-Walid dan Darul Islam Malizia yang masih berpaksikan ideologi agama yang tersasar.
Kerajaan melantik sekumpulan pakar dari universiti awam untuk mengenal pasti jenis fahaman pelampau yang tumbuh dan berkembang di Malaysia.
Dengan menggunakan pelbagai metodologi, mengumpul dan menganalisis pelbagai jenis data, umumnya ada tiga jenis fahaman pelampau di Malaysia.
Fahaman pelampau pertama berbentuk politik atau etnonasionalis. Fahaman ini merujuk kepada individu, kumpulan atau gerakan yang menjadikan platform politik atau menggunakan justifikasi politik bagi kepentingan maksud tertentu sebagai asas perjuangan yang boleh menimbulkan keresahan awam dan berpotensi menggugat ketenteraman awam.
Antara ciri fahaman ini ialah membenci institusi raja berpelembagaan dan mempromosikan idea menghapus sistem beraja di Malaysia. Idea ini dipalu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah republik, tetapi di sudut yang lain, wujud gerakan berbeza yang bercita-cita mewujudkan sistem khalifah versi sendiri.
Kedapatan gerakan mempromosikan idea pemisahan atau kemerdekaan untuk Sabah dan Sarawak di samping idea bersifat kenegerian yang melampau yang berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat serta mengganggu keharmonian semasa.
Di sebalik terkuburnya komunis, agenda untuk menghidupkan semula ideologi ini menular secara halus dalam kalangan komuniti tertentu di negara ini. Dalam pada itu, isu perkauman yang sering dimainkan oleh pelbagai parti politik menjejaskan perpaduan kaum dan merencat usaha Malaysia mencapai 'demokrasi matang'.
Fahaman pelampau kedua adalah berorientasi sosial. Ia merujuk kepada kumpulan atau gerakan yang membawa idea yang mempergunakan isu sosial seperti budaya dan cara hidup untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Kumpulan ini ingin meletakkan nilai yang mereka amalkan sebagai nilai utama yang mesti diterima oleh masyarakat tanpa mengambil kira perbezaannya dengan undang-undang, nilai, norma dan cara hidup majoriti masyarakat Malaysia.
Budaya dan cara hidup yang diperjuangkan oleh kumpulan ini mencabar semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan, bertentangan dengan ajaran Islam dan prinsip agama lain, serta berlawanan dengan nilai rakyat Malaysia. Di satu sudut, gerakan ini bergerak di atas slogan hak asasi manusia dan kebebasan yang bertunjangkan liberalisme barat, amalan pergaulan bebas, memperjuangkan seks bebas serta pluralisme agama dengan hiburan tanpa sempadan.
Di sudut yang lain pula, kumpulan ini terdiri daripada pelampau sosial seperti kumpulan pembuli, samseng dan kongsi gelap yang menunjukkan kebiadaban dan kekerasan terhadap orang lain, sama ada berbentuk penulisan, percakapan, atau perbuatan. Ancaman gerakan ini adalah mereka mahukan fahaman dan nilai mereka diarusperdanakan dalam masyarakat yang menimbulkan pertembungan fahaman dan cara berfikir yang boleh menjana ketegangan serta menimbulkan ancaman keselamatan.
Fahaman pelampau ketiga adalah berorientasi agama iaitu merujuk kepada kumpulan atau gerakan yang menggunakan justifikasi agama atau memperalatkan agama untuk matlamat perjuangan.
Gerakan ini wujud dalam masyarakat Islam dan bukan Islam, ditubuhkan oleh orang tempatan dan turut dipengaruhi elemen luar. Kumpulan ini wujud dalam agama Islam seperti Tanzim Al-Qaeda dan sel kecil Daesh serta menggunakan doktrin agama yang menyeleweng seperti Khilafah Islamiyyah, jihad dan hijrah untuk mendapat sokongan selain berpaksi kepada fahaman Salafi Wahhabi.
Gerakan ini termasuk ajaran difatwakan bercanggah dan menyeleweng dalam Islam di Malaysia seperti Ayah Pin dan Hizbut Tahrir serta fahaman yang difatwakan sesat oleh negeri-negeri seperti syiah dan Salafi Wahhabi.
Wujud satu elemen penting dalam konteks persekitaran global masa kini iaitu pengaruh elemen luaran terhadap ketiga-tiga orientasi ini. Elemen ini merujuk kepada idea dan fahaman luar yang dibawa masuk dalam negara dan disebarkan kepada masyarakat setempat untuk mendapat simpati dan sokongan. Ini meliputi kumpulan atau gerakan yang membawa fahaman politik, agama dan sosial yang bersifat pelampau sama ada diiktitaf sebagai sebagai pelampau keganasan atau tidak.
Antara contohnya adalah kebanjiran pendakwah asing Islam yang membawa fahaman radikal dan berbeza dengan aliran arus perdana Ahli Sunah Waljamaah yang diamalkan, kemasukan kelompok ajaran sesat dalam agama lain, kehadiran kumpulan pelampau luar yang datang untuk mengumpul dana dan merekrut ahli, ancaman kumpulan Abu Sayyaf yang signifikan di Sabah serta percubaan menghidupkan kumpulan pengganas Tamil Eelam (LTTE) yang disenaraikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai organisasi pengganas.
Selain itu, elemen luar ini merangkumi gerakan secara halus dari luar yang membiayai NGO tempatan untuk menentang usaha kerajaan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan ketenteraman awam.
Kebanjiran pemegang kad UNHCR ke Malaysia yang tidak diketahui latar belakang mereka berupaya menimbulkan ancaman keselamatan. Kaum Rohingya sebagai contoh dilihat memiliki hubungan kekeluargaan yang rapat, berusaha berkahwin dengan rakyat tempatan dan membawa keluarga mereka
ke Malaysia.
Kajian di negara maju menunjukkan generasi kedua dan ketiga pendatang asing ini adalah antara golongan paling terdedah menjadi militan dan pengganas apabila tercetusnya sesuatu peristiwa besar (seperti kes Daish).
Berdasarkan ancaman dan orientasi fahaman pelampau dan elemen luar ini, penggubalan Pelan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Pelampau Kebangsaan (MyPCVE) amat dinanti-nantikan.
MyPCVE yang disandarkan kepada usaha mencegah fahaman pelampau dari berkembang, menguat kuasa dan menambah baik undang-undang, memulih mereka yang terbabit serta mengukuhkan jati diri rakyat Malaysia perlu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai Agama Persekutuan serta nilai dan norma masyarakat Malaysia.
Pelan ini diharapkan menyediakan inisiatif dan tindakan yang dapat membantu kita membina Keluarga Malaysia yang mampan dan harmoni.
Artikel ini ditulis berdasarkan kajian diketuai oleh penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan didukung oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Penulis Felo Kanan Bersekutu Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
https://www.hmetro.com.my/addin/ ... uat-tolak-kekerasan
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|