CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 418|Reply: 0

[Pulau Pinang] Tujuh keluarga terselamat rumah ditimpa pokok tumbang

[Copy link]
Post time 17-2-2022 04:50 PM | Show all posts |Read mode
Tujuh keluarga terselamat rumah ditimpa pokok tumbang
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI | | 17 Februari 2022


Guneswary menunjukkan rumahnya yang rosak teruk dalam kejadian awal pagi Khamis.


BALIK PULAU - Tujuh sekeluarga nyaris maut apabila sebatang pokok sentul tumbang menghempap rumah pusaka yang didiami mereka dalam kejadian awal pagi Khamis.


M Guneswary, 58 berkata, ketika kejadian, dia bersama suaminya, M Veeramoney, 60 sedang berehat di bahagian atas rumah sebelum mendengar bunyi dentuman kuat.


Menurutnya, kejadian pada jam 1 pagi itu tidak disangka berikutan tiada angin kuat atau ribut selain tiada hujan lebat.


"Saya baharu habis buat kerja rumah sebelum naik ke atas untuk berehat bersama suami. Ahli keluarga lain termasuk ibu mertua, S Suppamah yang berusia 74 tahun dan bayi berusia tiga bulan berada di bahagian bawah.


"Kejadian berlaku sangat pantas, tiada angin atau hujan lebat. Apa yang saya ingat, ada kilat dan saya pejam mata, tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman yang kuat. Ketika itu, saya lihat rumah dah rosak selepas pokok sentul sebesar dua pemeluk di sebelah rumah tumbang.


"Semua barangan yang berada di bahagian atas rumah rosak teruk manakala saya, suami dan ibu mertua mengalami kecederaan kecil selepas terkena tiang rumah yang patah. Kami sudah menerima rawatan di Hospital Balik Pulau pagi tadi," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.


Dia berkata, kejadian tersebut merupakan yang pertama kali berlaku sejak 38 tahun tinggal di rumah berkenaan.


Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, Guneswary berkata, adik iparnya yang sedang tidur sempat membawa bayinya berusia tiga bulan keluar dari rumah kerana bimbang ditimpa tiang rumah yang patah.


"Kesemua ahli keluarga berjaya melarikan diri keluar dari rumah ke bahagian belakang dalam keadaan gelap untuk menyelamatkan diri. Saya bersyukur hanya kami bertiga mengalami kecederaan kecil manakala yang lain selamat dan tidak mengalami kecederaan.


"Buat masa ini, kami akan menumpang di rumah saudara sementara menunggu rumah dibaiki. Barangan rumah di bahagian atas semuanya rosak teruk manakala (barang) di bahagian bawah, ada beberapa sahaja yang rosak," katanya.


Menurutnya, satu laporan sudah dibuat dan berharap agar ada pihak yang boleh menghulurkan bantuan untuk membaiki kerosakan yang dialaminya.


"Saya hanya bekerja kilang, suami pula tidak bekerja kerana kurang sihat. Ahli keluarga lain pun, hanya kerja biasa sahaja. Saya berharap ada pihak yang tampil untuk menghulurkan bantuan," ujarnya.


Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail berkata, kejadian yang menimpa keluarga berkenaan kini dalam pemantauan dan keluarga berkenaan akan dibantu dengan segera.


"Dalam kes-kes sebegini, kami akan bekerjasama dengan Pejabat Parlimen, Pejabat Penghulu dan sebagainya untuk membantu mereka yang terlibat dari segi membaiki bumbung dan struktur rumah yang rosak," katanya.



Nelayan mengalami kerugian besar dalam kejadian ribut pada awal pagi Khamis.


Sementara itu, nelayan di Jeti Kampung Nelayan Teluk Kumbar dan Kuala Sungai Teluk Kumbar turut mengalami kerugian besar selepas bot mereka rosak dalam kejadian ribut awal pagi Khamis.


Difahamkan, selain dihanyutkan ombak, terdapat lebih 10 buah bot yang diletakkan di sepanjang jeti tersebut tenggelam dan terlangkup akibat ditiup angin kuat.


Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar, Roslizan Ramli berkata, kejadian pada jam 1.30 sehingga 3.30 pagi itu diibaratkan seperti tsunami kecil selepas ombak besar memukul enam sampan fiber dan bot yang diletakkan di jeti.


"Selama dua jam kejadian angin kuat itu berlaku, kami hanya mampu melihat sahaja bot dan sampan fiber dipukul ombak. Jika kami cuba selamatkan bot ketika itu namun bimbang berkemungkinan kejadian tidak diingini mungkin berlaku.


"Ombak besar sampai ke bahagian jalan kecil di deretan kedai di sini, ia umpama tsunami kecil. Ada bot yang dipukul ombak sampai ke atas jalan, telangkup. Memang rosak habis.


"Kami anggarkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh nelayan terlibat sekitar RM10,000 hingga RM15,000," katanya.


Ketika ini, kesemua nelayan yang terjejas sedang melakukan gotong-royong menarik pukat dan menaikkan bot yang terbalik.




Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... timpa-pokok-tumbang
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-9-2024 03:45 AM GMT+8 , Processed in 0.039077 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list