![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220211/kch-ub110222-jl-atipsom-p1.jpg)
Suspek dan PATI yang ditangkap dalam operasi tersebut.
BAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau mematahkan cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup masuk empat warga asing dari Indonesia, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditangkap selepas diperiksa di sekatan jalan raya di Kampung Suba Buan, sekitar jam 5.45 pagi.
Menurutnya, suspek semasa ditahan memandu sebuah kereta dan pemeriksaan ke dalam kereta mendapati terdapat empat penumpang iaitu seorang lelaki dan tiga wanita.
"Semasa pemeriksaan dibuat, didapati di dalam kenderaan tersebut terdapat seorang lelaki tempatan sebagai pemandu, seorang lelaki warga Indonesia dan tiga wanita warga Indonesia sebagai penumpang.
"Siasatan juga mendapati seorang lelaki warganegara Indonesia hanya mempunyai kad pengenalan diri Indonesia dan tiga wanita warganegara Indonesia mempunyai pasport antarabangsa Indonesia, namun tiada cop pengesahan daripada pihak imigresen Indonesia dan Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, suspek bersama empat pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
"Hasil siasatan membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek lelaki warga tempatan berusia 66 tahun yang dikatakan memberi arahan kepada suspek untuk membawa masuk keempat-empat PATI tersebut," katanya.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (Atipsom 2007).
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya," katanya.
Manakala, suspek warga asing disiasat di bawah Akta Imigresen 1963 dan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," tegasnya.
utusanborneo.com.my/2022/02/11 |