|
KANGAR: Menjelang Tahun Baharu Cina, kuih atau biskut tradisi turun temurun menjadi antara juadah pilihan kaum Tionghua untuk sajian perayaan berkenaan.
Biskut seperti kuih tat nanas atau pineapple tart, biskut kacang dan juga kuih bangkit antara menu yang sering disediakan setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina.
Pembuat dan penjual kuih serta biskut tradisi Cina, Tan Vin Shi, 37, tidak ketinggalan dalam menyediakan juadah dipesan pelanggannya saban tahun.
"Saya sudah menghasilkan kuih dan biskut tradisi seperti biskut kacang, kuih bangkit dan kuih tat nanas ini sejak 20 tahun lalu kerana sering menjadi pilihan masyarakat Cina ketika menyambut Tahun Baharu Cina.
Namun, penularan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak dua tahun lalu menyebabkan berlaku kemerosotan dari segi permintaan serta jualan biskut tradisi dihasilkannya.
"Saya hanya mampu menjual sekitar 500 hingga 600 balang biskut dan kuih berbanding sebelum PKP di mana permintaannya sehingga dua kali ganda," katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Sarawak, Kuala Perlis, di sini.
Vin Shi berkata, dia mula membuat biskut dan kuih tradisi dengan membantu ibunya, Tan Li Er, 60, dan bapanya, Tan Keng Huat, 60, sehingga mereka berjaya membuka kedai di Pulau Tikus, Pulau Pinang.
"Bukan sahaja di Perlis, permintaan terhadap kuih dan biskut tradisi ini terutama kuih tat nanas ini meluas sehingga di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura dan Indonesia.
"Seperti kuih tat nanas yang saya hasilkan ini juga dikenali Little Golden Egg kerana bentuknya seperti telur emas dan nanas dalam bahasa Hokkien disebut 'Ong Lai' atau secara literalnya juga turut membawa maksud tuah atau 'Ong' di mana kita mengharapkan supaya perniagaan dapat berlangsung dengan baik, kesihatan juga baik serta pendapatan rezeki juga bertambah," katanya.
Vin Shi berkata, untuk sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, dia sudah pun membuka tempahan kuih dan biskut sekitar November lalu.
"Jadual penghasilan kuih dan biskut tradisi ini berbeza sejak dua tahun lalu di mana saya mula menerima tempahan pada Oktober sebelum menghantarnya ke kedai kami di Pulau Pinang.
"Untuk tahun ini pula, Disember lalu dan bulan ini digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan segala tempahan yang sudah dipesan pelanggan tetap kami dan sejak tiada lagi pelaksanaan PKP, tempahan biskut dan kuih tradisi ini naik sebanyak 20 peratus.
"Setiap hari, saya dibantu jiran di sekitar kedai ini dan cara memprosesnya juga masih menggunakan cara manual atau handmade dengan mengayak tepung, gula, mentega dan bahan lain sebelum dibakar ke dalam ketuhar " katanya.
Dia berkata, pada masa sama, suaminya, Loh Hong Thien, 40, turut membantu, selain menjaga dua anak lelaki mereka yang berusia empat dan enam tahun.
"Selain itu, saya juga membuat biskut dan kuih moden seperti biskut dark hocolate walnut, white chocolate, butter cheese cookies dan brownie.
"Untuk perayaan tahun ini, saya melakukan kelainan, iaitu setiap kuih dan biskut ditempah akan dibungkus dan dimasukkan dalam bekas bertutup anyaman tikar mengkuang sebagai satu cara menarik pelanggan untuk terus memesan kuih dan biskut daripada kami," katanya.
Vin Shi menunjukkan biskut kacang tempahan pelanggan sempena sambutan Tahun Baharu Cina. - Foto NSPT/Aizat Sharif |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|