PADAH: Tertuduh (dua kiri) diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.
TAWAU : Seorang lelaki dikenakan hukuman penjara dua bulan dan denda RM12,000 di Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk.
Tertuduh, Sulaiman Abd Salim, 54, membuat pengakuan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.
Mahkamah juga turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tambahan penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut kertas pertuduhan, Sulaiman didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Taman Bintang, Batu 3 Jalan Apas, kira-kira jam 1.40 pagi pada 9 Januari lalu.
Kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Surian, manakala tertuduh tidak diwakil peguam.
Terdahulu, Suhaimi dalam hujahnya menegaskan kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bukan sahaja di daerah ini malah di seluruh negara.
Oleh itu, beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM12,000, selain tertuduh juga hilang kelayakan memiliki lesen memandu selama dua tahun.
utusanborneo.com.my/2022/01/27 |