KUCHING: Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan barangan keperluan khasnya telur ayam di pasaran di sini mencukupi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Stanley Tan berkata berdasarkan maklum balas daripada pengguna, bekalan telur ayam di sini mencukupi meskipun terdapat peningkatan permintaan ekoran sambutan Tahun Baharu Cina.
"KPDNHEP memberi jaminan tidak ada isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran di sini (Kuching) meskipun terdapat permintaan yang tinggi disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina.
"Berdasarkan maklum balas daripada pemborong dan peniaga, bekalan telur khasnya di Kuching mencukupi malah isu kekurangan bekalan telur ayam yang dihadapi di Miri beberapa hari lalu telah selesai," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pembantu Kedai Runcit GMart PJ, Sharifah Asya Al Qadry mengemas rak jualan tempat meletakkan telur ayam yang hanya tinggal beberapa papan sahaja.
KPDNHEP katanya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tidak ada peniaga yang cuba mengaut keuntungan berlebihan.
Beliau memberitahu pegawai-pegawai penguatkuasaan KPDNHEP Kuching telah melakukan pemantauan dan pemeriksaan di Medan Niaga Satok dan tidak ada peniaga di situ mengadu mengenai kekurangan bekalan telur ayam serta barang keperluan lain.
"KPDNHEP Sarawak menerusi pegawai-pegawai penguatkuasa sentiasa turun padang memastikan bekalan telur ayam dan barang keperluan lain mencukupi. Oleh itu pengguna tidak perlulah melakukan pembelian panik " ujarnya.
Tan turut mengingatkan peniaga agar tidak menjual telur ayam melebihi harga siling yang ditetapkan.
Beliau menegaskan peniaga yang cuba mendapatkan keuntungan berlebihan dengan menjual harga telur ayam melebihi harga siling boleh dikompaun RM300 serta merta.
Menurutnya di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 (SHMTBC 2022) berkuatkuasa 29 Januari ini hingga 4 Februari depan harga siling runcit untuk telur Gred A ialah 45 sen, manakala Gred B, 43 sen dan Gred C, 41 sen.
"Peniaga yang menjual telur pada harga tinggi melebihi harga siling jika didapati bersalah boleh dikenakan kompaun RM300 serta merta.
"Oleh itu kita meminta orang ramai tampil membuat aduan jika ada salah laku berkaitan kepenggunaan kepada KPDNHEP dengan menerusi e-aduan.kpdnhep.gov.my atau menghubungi 082-466052 (bilik operasi KPDNHEP) atau melalui WhatsAPP ke 019-2794137 (aduan pengguna)," tambahnya.
Sementara tinjauan Utusan Borneo di sini mendapati rata-rata peniaga kedai runcit memaklumkan bekalan telur ayam ketika ini terhad kemungkinan dipercayai permintaan tinggi ekoran sambutan Tahun Baharu Cina.
Seorang pengusaha kedai runcit GMart PJ Radzi Bujang ketika ditemui memaklumkan walaupun bekalan terhad, telur ayam tetap dijual mengikut harga ditetapkan.
Menurutnya beliau menjual telur ayam Gred A harga 13.50 sepapan (30 biji) berbanding hanya RM 12.90 pada minggu pertama bulan Januari.
utusanborneo.com.my/2022/01/27 |