|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/27loi_1643257281.jpg)
Graduan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat), Looi Pui Mun (kiri), 24 dan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Perakaunan, Tan Yi Wen, 23. - Foto UUM
ALOR SETAR: Dua pelajar Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Universiti Utara Malaysia (UUM) mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila memperoleh markah tertinggi dalam kertas peperiksaan bagi program Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Pelajar itu, Looi Pui Mun yang juga graduan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) memperoleh markah tertinggi bagi kertas Advanced Financial Management (AFM) Disember 2021.
Manakala Tan Yi Wen, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Perakaunan yang memperoleh markah tertinggi bagi kertas Advanced Performance Management (APM) Disember 2021.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan Pui Mun berada di tempat pertama di dunia dan Malaysia, manakala Yi Wen berada di tempat pertama di Malaysia dan ke-14 di dunia.
Pui Mun, 24, berkata, beliau gembira dengan pencapaian itu malah tidak menjangkakan akan mencapai tahap itu untuk kertas terakhir bagi melengkapkan program ACCA.
Katanya, meskipun berada dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, namun ia tidak menjadi halangan sebaliknya satu kelebihan kerana dia mempunyai banyak masa untuk fokus belajar selepas menamatkan latihan industri.
"Untuk kertas AFM ini, saya perlu membuat pengiraan mengenai penilaian perniagaan, penilaian pelaburan dan pengurusan risiko ke atas pertukaran asing dan kadar faedah.
"Saya juga perlu membuat pertimbangan dan memberikan pandangan mengenai keputusan perniagaan berdasarkan angka yang ditemui," katanya yang kini bekerja sebagai perunding di satu syarikat Big Four.
Pui Mun berkata, beliau kini teruja untuk memulakan perjalanan baharu ini dan berharap pencapaiannya itu akan menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus mencapai cita-cita dan matlamat diri, malah membanggakan universiti dan TISSA-UUM.
Katanya, dia berterima kasih kepada UUM, ACCA, keluarga dan rakan-rakan di atas sokongan dan dorongan yang berterusan sepanjang pencapaian yang diperoleh dan ia telah mendorongnya untuk terus bekerja lebih keras.
Sementara itu, kegembiraan sama turut dirasai Yi Wen, 23, kerana berjaya memperoleh markah tertinggi bagi kertas APM yang hanya diketahui menerusi e-mel pada Jumaat lalu.
"Saya teruja dan pada masa sama terkejut kerana tidak sangka akan memperoleh markah tertinggi di Malaysia. Segala usaha selama ini akhirnya terbayar, namun perjalanan saya masih jauh lagi untuk melengkapkan kertas peperiksaan bagi program ACCA ini.
"Bagi mencapai kejayaan hari ini, disiplin amat penting. Saya akan menyiapkan tugasan terlebih dahulu, kemudian menonton rakaman video kelas tambahan, mengulangkaji dan membuat latihan soalan tahun-tahun terdahulu, selain bijak membahagikan masa. Di sinilah segala ilmu yang dipelajari di UUM dipraktikkan," katanya.
Yi Wen juga berkata, cabaran utama semasa persediaan untuk menyiapkan kertas kerja ini ialah pengurusan masa memandangkan banyak tugasan kuliah yang perlu diselesaikan pada waktu yang sama.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|