Keadaan banjir di Pekan Bukit Kepong, Muar. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pagoh: Selain pekan Lenga dan Bukit Kepong, Galeri Darurat Bukit Kepong juga antara kawasan yang teruk dilanda banjir di daerah ini apabila banyak kawasan kampung dinaiki air berpunca dari Sungai Muar melimpah.
Pengarah Muzium Kepolisan, Superintendan Selamat Sainayune berkata, sehingga hari ini bahagian bawah galeri berkenaan masih ditenggelami air banjir setinggi dua meter.
Katanya, kedudukan galeri berkenaan yang hanya 30 meter dari tebing Sungai Muar menyebabkan ia sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.
"Tiada sebarang kerosakan berlaku di dalam galeri kerana semua barang pameran dan koleksi berada di tingkat dua dan tiga bangunan berkenaan serta dalam keadaan selamat," katanya.
Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 1,084 mangsa daripada 308 keluarga terjejas banjir di Muar dan ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.
Sementara itu, seorang penduduk, Johari Komari, 57, berkata dia berterima kasih dengan agensi kerajaan yang sentiasa memastikan kebajikan serta makan dan minum mangsa banjir terjaga.
"Kami di sini baik-baik saja, tiada masalah makan minum, semua dijaga. Selesa juga di sini, cuma nanti bila balik rumah tengok keadaan rumah pasti sedih," katanya.
Katanya, suasana di PPS sekarang tidak sama seperti beberapa tahun sebelumnya kerana penghuni perlu mengikuti setiap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
"Sebelum dilanda Covid-19, mangsa banjir di PPS boleh masak sendiri dalam suasana gotong-royong tapi kini semuanya disediakan," katanya.
Disiarkan pada: Januari 7, 2022 @ 2:17pm
|