![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220104/sibu040122.jpeg)
KANOWIT: Penduduk di sini terutama yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah diingatkan agar berwaspada dengan kemungkinan banjir susulan cuaca yang tidak menentu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit Arrahman Chik (gambar) berkata berkata keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan lebat perlu diberi perhatian, bagi mengelak kesulitan yang lebih serius sekiranya berlaku banjir.
Katanya, keadaan boleh menjadi lebih teruk sekiranya air pasang besar dan kejadian banjir berlaku serentak.
"Justeru saya mahu mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan berhati-hati dengan keadaan cuaca hujan yang tidak menentu ketika ini dan kemungkinan banjir berlaku di tempat masing-masing," katanya ketika dihubungi hari ini.
Arrahman berkata, anggota dan peralatan logistik BBP Kanowit untuk tujuan menyelamat juga mencukupi.
Tegas beliau, BBP Kanowit mempunyai peralatan logistik seperti bot penyelamat pelbagai guna, jentera bomba dan kenderaan pacuan empat roda berada dalam keadaan baik dan siap sedia untuk diatur gerakkan.
"Semua peralatan pasukan BBP Kanowit berada dalam keadaan sedia untuk digunakan pada waktu kecemasan.
"Biasanya enam hingga tujuh orang anggota akan dikerahkan ke lokasi bencana dan dalam masa sama BBP Kanowit tidak menghadapi sebarang masalah dalam melaksanakan operasi menyelamat mangsa bencana banjir sekali gus dapat memberi khidmat yang terbaik," ujar beliau.
Sementara itu, antara kawasan berisiko banjir di Kanowit ialah di SK Ulu Balingiau, SK Nanga Neruk, Jalan Ladang Bawan, SK Ulu Poi, SK Ulu Machan, Rh Usup Nanga Seleruh di Machan, Jalan Lukut/Penyulau, Jalan Rantau Kemiding, pekan Kanowit dan pekan Machan.
utusanborneo.com.my/2022/01/04 |