KUCHING: Perbuatan seorang lelaki warga Indonesia yang menceroboh masuk pekarangan sebuah rumah dengan alasan hendak mencari pekerjaan membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Setri Kasih, 38, mengaku bersalah di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali, yang turut memerintahkan hukuman penjara dikuatkuasakan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 28 Disember 2021.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan pencerobohan dengan memasuki sebuah rumah di Barat Siburan di sini, jam 4 pagi, pada 28 Disember 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibacakan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pemilik rumah (pengadu) mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali telah masuk ke pekarangan rumah serta di kawasan kejiranan pengadu.
Tertuduh juga cuba memasuki rumah pengadu namun gagal.
Setelah gagal berbuat demikian, tertuduh masuk ke dalam kereta pengadu dan enggan keluar dari kenderaan tersebut.
Pengadu seterusnya menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu supaya tidak dikenakan hukuman berat dan memaklumkan mahkamah bahawa dia bertindak sedemikian kerana hendak mencari pekerjaan.
Dalam pada itu, tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah.
Tertuduh dalam kejadian sama, dilaporkan gagal menunjukkan pasport kepada pihak polis semasa tangkapan dilakukan di rumah pengadu.
Semakan di Jabatan Imigresen Malaysia mendapati tiada rekod pergerakan keluar masuk bagi tertuduh.
Sehubungan itu, Hakim Maris Agan yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh memerintahkan hukuman penjara dikuatkuasakan hari ini.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dirujuk ke Imigresen selesai menjalani hukuman, untuk tindakan selanjutnya.
Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique.
utusanborneo.com.my/2022/01/04 |