![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20220102/twu-ub020122-hs-runtuhp1.jpg)
ROSAK: laluan penghubung antara Kg Tumbalang dan Kg Malinsau terputus akibat tanah runtuh.
RANAU: Penduduk Kampung (Kg) Nawanon dan disekitarnya memohon jasa baik pemimpin untuk membantu mengatasi masalah kerosakan jalan raya akibat tanah runtuh di kawasan ini.
Pengerusi JPKK Kg Nawanon, Jemisi Sabal berkata banyak laluan di sekitar daerah ini telah terputus kerana berlakunya tanah runtuh.
Katanya, masalah itu sangat merisaukan penduduk di sini kerana ia boleh mengundang kemalangan disamping kesukaran menghantar hasil pertanian dan urusan lain di pekan.
“Banyak laluan telah terputus menyebabkan kenderaan tidak dapat bergerak ke pekan Ranau untuk pelbagai urusan, malah, jambatan gantung di Kg Lobou juga tidak dapat digunakan.
“Selain itu, beberapa tebing sungai berhampiran penempatan mula runtuh dan menyebabkan kerosakan rumah penduduk,” katanya.
Menurutnya, penduduk di sini memohon supaya pemimpin dan pihak berkuasa tampil membantu mengatasi masalah tersebut.
“Kami mohon Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir dan ADUN Kundasang, Datuk Joachim Gunsalam dapat membantu masalah ini.
“Penduduk di sini berharap, semua pemimpin berkenaan turun padang membantu mengatasi masalah yang berlaku di kawasan Ranau dan sekitarnya,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, semua penduduk Kg Nawanon sangat bersyukur kerana sebelum ini Jonathan telah membantu membina sebuah Dewan Komuniti untuk kegunaan masyarakat di sini.
Beliau mewakili lebih 500 penduduk menzahirkan penghargaan kepada kerajaan pusat dan negeri kerana meluluskan peruntukan tersebut.
“Hal ini kerana, penduduk sudah lama menantikan dewan tersebut untuk kegunaan melakukan aktiviti ataupun program yang melibatkan masyarakat.
“Justeru, kami tahu semua pemimpin kerajaan yang ada di negeri ini memang sangat prihatin dengan nasib rakyat dan berharap masalah laluan yang rosak itu dapat diatasi dengan segera,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/02
|