COVID-19: Sarawak rekod 24 kes baharu, tiada kematian
KUCHING: Sarawak merekodkan 24 kes baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kini 252,286 kes.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata lapan daripada kes ini kategori satu manakala 16 lagi kes kategori dua.
“Limbang merekodkan kes tertinggi iaitu enam kes diikuti Kuching (5) dan masing-masing tiga kes di Lawas, Miri dan Sibu. Manakala empat lagi daerah iaitu Bintulu, Serian, Daro dan Lubok Antu masing-masing merekodkan satu kes,” katanya.
JPBNS turut memaklumkan tiada kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan dengan 12 individu di bawah pengawasan (PUS) baru dikuarantin.
Dalam pada itu polis Sarawak telah mengeluarkan 13 kompaun di Kuching kerana gagal mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki premis dan pemilik premis gagal memaparkan jumlah had pelanggan memasuki premis.
Manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak telah menjalankan enam operasi nyahcemar di Kuching (1), Samarahan (2), Serian (2) dan Sarikei (1).
Sementara itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melakukan pemeriksaan ke atas 151 premis hari ini namun tiada kompaun dikeluarkan.
utusanborneo.com.my/2021/12/30 |