KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) — Tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bencana alam, menurut KWSP.
Dalam satu kenyataan, dana persaraan itu memaklumkan organisasi itu tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan Akaun 1 atau 70 peratus simpanan ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan lebih cerah.
“KWSP menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan simpanan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian sebarang pengeluaran khas di bawah skim i-Citra agar masa depan persaraan mereka tidak akan terus dikompromi,” kata organisasi tersebut.
KWSP menjelaskan skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, diikuti i-Citra pada Julai lepas, bersifat luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.
Katanya, skim pengeluaran itu menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000.
.bernama.com/2021/12/28 |