KUCHING: Kawal semula acara sosial seperti Krismas, cuti tahun baharu dan melawat hanya untuk keluarga terdekat, kata Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, ekoran varian Omicron yang sudah ‘mendarat’ di negeri ini, sewajarnya acara sosial diskalakan semula.
“Namun, tidak dapat dielakkan pembukaan sempadan kita sebagai sebahagian daripada hidup dengan virus,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu dalam satu muat naik di Facebook miliknya pada Ahad.
Jelasnya, perkara yang tidak diingini iaitu varian Omicron yang tiba lebih awal daripada jangkaan diharapkan ditangguhkan selama beberapa minggu lagi sehingga vaksin baharu tersedia pada 2022.
“Bagaimanapun, berdasarkan kajian perubatan terkini mengenai Omicron menunjukkan keparahan yang lebih ringan berbanding Delta. “Tetapi varian ini lebih berjangkit iaitu merebak lebih mudah dan lebih cepat daripada Delta,” ujarnya.
Akibat daripada ini jelasnya, bilangan kes positif yang teruk mungkin masih memberi tekanan kepada doktor, jururawat dan sistem hospital di Sarawak melebihi kapasiti maksimum.
“Panik tidak membantu. Setiap daripada kita perlu sentiasa berwaspada, memainkan peranan kita dan melakukan peranan kita semula,” tambahnya.
Justeru beliau menasihati semua untuk melindungi keluarga dan rakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Jaga jarak yang selamat, buka tingkap, pakai topeng pelitup muka, tutup mulut semasa bersin atau batuk dan bersihkan tangan,” katanya lagi.
Beliau juga menasihati orang ramai untuk mendapatkan vaksin sebaik tiba giliran, melakukan rutin harian dengan penilaian kendiri, ujian kendiri dan pengasingan diri jika perlu.
Tambahnya lagi, beliau akan terus membantu JPBN dan pasukan sebagai pakar perubatan swasta secara tidak rasmi sehingga semua Kabinet YB “angkat sumpah” pada waktunya.
by suaraswk
December 28, 2021 |