BEAUFORT: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) menggesa masyarakat supaya sentiasa kekal waspada sepanjang masa dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak pandemik.
Beliau berkata masyarakat khususnya di daerah ini wajar mematuhi SOP yang digariskan sepanjang masa tidak kira sama ada semasa sambutan perayaan ataupun tidak memandangkan Sabah belum lagi pulih sepenuhnya daripada wabak pandemik.
Sambil mengucapkan selamat Hari Natal dan Tahun Baru 2022 kepada komuniti yang meraikannya, beliau menggesa masyarakat supaya menyambutnya secara sederhana dalam suasana norma baharu tanpa mengabaikan SOP yang disarankan.
"Ayuh kita bersama kekal waspada memandangkan kita masih belum pulih daripada wabak COVID-19 sepenuhnya. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan semua termasuk diri saya supaya mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.
"Apapun sambutan, marilah raikan secara sederhana dalam suasana norma baharu mengikut SOP yang dibenarkan. Ingat, jangan kita abai aspek kesejahteraan bagi memastikan kita dapat menjalani seterusnya menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sebelum ini, " katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shahril turut menyarankan masyarakat supaya tampil mendapatkan vaksin dos penggalak bagi mendapatkan pelindungan yang optimum seperti mana yang disaran oleh kerajaan.
Jelasnya dengan situasi semasa ketika ini dengan penemuan varian COVID-19 baharu yang sedang menular, orang ramai wajar tampil mendapat suntikan vaksin dos penggalak bagi meningkatkan imunisasi diri daripada sebarang jangkitan COVID-19.
Justeru katanya, orang ramai yang telah mendapatkan tarikh janji temu untuk pemberian vaksin dos penggalak dinasihatkan supaya hadir pada tarikh yang ditetapkan bagi menjamin kelancaran proses vaksinasi bagi dos penggalak.
"Bagi mereka yang belum mempunyai tarikh janji temu bagi vaksin dos penggalak dinasihatkan supaya membuat semakan atau menghubungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan sekiranya terdapat slot suntikan vaksin dos penggalak secara 'walk-in', " katanya.
utusanborneo.com.my/2021/12/27 |