SARIKEI: Kemunculan seekor buaya gergasi berhampiran sebuah kedai, di sini menggemparkan penduduk Jakar awal pagi tadi.
Kelibat haiwan terbabit sempat dirakam oleh orang awam sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Sarikei.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata, sepasukan anggota yang diketuai Sarjan (PA) Buang Bolhassan bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan bantuan pada jam 9.51 pagi.
“Selain APM, operasi khas ini juga dibantu oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei,” katanya dalam satu kenyataan.
Mirwan berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati haiwan sepanjang kira-kira 4.5 kaki itu masih berada di kawasan berkenaan.
Sebagai langkah keselamatan katanya, mereka menggunakan semburan air dan batang kayu untuk menghalau haiwan berkenaan ke dalam sungai yang berhampiran.
“Buaya yang kelihatan tidak agresif itu akhirnya berjaya dihalau kembali ke dalam sungai. Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang operasi ini dijalankan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mirwan menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati jika terserempak dengan haiwan terbabit terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.
by Suaraswk
December 26, 2021 |